Oleh Umat St Ann
KOTA PADAWAN — Paroki Santa Anna di sini telah dipilih menjadi tuan rumah bagi program “Young Priests Gathering” yang menghimpunkan barisan paderi muda bersama komuniti umat Katolik setempat dalam suasana penuh warna-warni kebudayaan, baru-baru ini.
Program yang berlangsung pada 7 Oktober lepas bertujuan untuk memperkukuh persaudaraan (fraternity) dalam kalangan paderi muda, di samping menyediakan platform buat umat paroki untuk mengenali dan beramah mesra secara dekat dengan pelapis kepimpinan gereja tersebut.
Tumpuan program dimulakan seawal jam 5:30 petang dengan Ibadah Pujian Senja (Vespers) bersama para paderi, sebelum diteruskan dengan upacara kemuncak rohani melalui perayaan Misa Kudus yang dirayakan oleh Rektor Paroki Santa Anna, Friar Don Don Romeiro Ramerez OFM bersama seluruh umat paroki di Gereja Katolik Santa Anna.
Suasana beralih meriah pada sebelah malam apabila dewan paroki dibanjiri dengan kepelbagaian warna-warni pakaian tradisional melalui Jamuan Makan Malam (Gathering Dinner). Bersesuaian dengan tema pakaian tradisi kaum masing-masing, keunikan budaya tempatan berjaya ditonjolkan sekali gus memupuk semangat kebersamaan yang tinggi antara paderi dan umat.
Sesi santai tersebut turut memberi peluang keemasan kepada komuniti setempat untuk beramah mesra serta menyatakan sokongan moral serta rohani yang padu kepada pelayanan paderi-paderi muda ini.
Kehadiran umat yang amat menggalakkan sepanjang program bermula daripada liturgi di gereja sehinggalah majlis makan malam mencerminkan sokongan luar biasa komuniti Paroki Santa Anna.
Bagi mengabadikan momen-momen bersejarah ini, album digital rasmi bagi program tersebut kini boleh diakses oleh orang awam menerusi laman Facebook St Ann Catholic Church, Kota Padawan.
Secara keseluruhannya, perhimpunan ini telah mencapai objektifnya dengan jayanya dan diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan demi memastikan sokongan berterusan terhadap perjalanan panggilan para paderi muda.






































