Majlis Ulang Tahun Ke-14 penubuhan Marian Guild St Ignatius

Sesi fotografi rasmi bagi merakam detik-detik indah bersama para tetamu dan ahli persatuan. (Gambar: Fiona Raphael)

Oleh Fiona Raphael

SARATOK — Pada tanggal 26 April lalu, Ministri Marian Guild Gereja St Ignatius di sini telah mengadakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-14 penubuhannya. 

Acara ini bertujuan untuk mengenang perjalanan penubuhan persatuan, menghargai jasa para ahli serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan umat Katolik, khususnya komuniti St Ignatius. 

Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 100 tetamu, termasuk rombongan Marian Guild dari Paroki Our Lady Queen of Peace, Sri Aman, dan Betong.

Program dimulakan dengan Doa Rosari sebagai tanda kesyukuran dan kesatuan rohani, untuk memohon agar majlis pada hari tersebut berjalan dengan lancar. 

Kehadiran dan ketibaan para tetamu telah disambut meriah oleh pihak penganjur sebaik sahaja selesai Doa Rosari. 

Tepat jam 11:00 pagi, majlis rasmi dimulakan dengan doa pemberkatan oleh Father Jerome Juleng. 

Majlis kemudian diserikan lagi dengan persembahan pembukaan oleh belia St Ignatius, yang mempamerkan sebuah tarian rebana yang indah dan bersemangat.

Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengerusi Marian Guild, Dorris Manjan, yang mengimbau kembali sejarah penubuhan persatuan, selain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli yang sentiasa komited dalam melayani komuniti di St Ignatius. 

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada tetamu kehormat yang sudi datang, dan juga kepada rombongan Marian Guild dari Sri Aman dan Betong yang sanggup datang dari jauh untuk menyokong sambutan majlis pada hari itu.

Majlis diteruskan lagi dengan upacara perasmian yang disempurnakan oleh Ani Isek, isteri YB Friday Belik, Ahli DUN N39 Krian. 

Dalam ucapannya, Ani menyatakan sokongan yang tinggi terhadap usaha-usaha Marian Guild dalam memperkasakan komuniti Katolik di sini. 

Selesai upacara perasmian, berlangsung upacara pemotongan kek ulang tahun, diikuti dengan penyerahan cenderahati kepada tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan. 

Majlis diteruskan dengan sesi fotografi rasmi bagi merakam detik-detik indah bersama para tetamu dan ahli persatuan.

Seterusnya, hadirin disajikan dengan tayangan montaj yang memaparkan sejarah perjalanan Marian Guild selama 14 tahun, serta mengimbau kenangan manis dan pencapaian yang telah diraih. 

Majlis ini menjadi lebih bermakna apabila acara diteruskan dengan penyerahan insentif kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM dalam kalangan umat St Ignatius sebagai galakan kepada generasi muda untuk terus berusaha dalam bidang akademik dan kerohanian.

Usai sesi penyerahan hadiah galakan, para tetamu dan umat telah dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari. 

Pada kesempatan ini, para hadirin menikmati juadah hidangan sambil berinteraksi dalam suasana yang santai dan penuh kekeluargaan. 

Majlis turut diserikan dengan persembahan khas daripada ahli Marian Guild, aktiviti permainan (games), dan juga nyanyian lagu “sponsor”.

Majlis berakhir pada sekitar jam 5:00 petang, dan semua yang hadir pulang dengan hati yang gembira dan penuh rasa syukur atas kejayaan sambutan ini. 

Semangat perpaduan dan kasih yang terpancar pada majlis ini diharap akan terus menyemarakkan semangat semua ahli Marian Guild untuk terus melayani dengan tekun dan setia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.