SSFS raikan Jubli Emas Ikrar Kaul Sr Marie Celine & Sr Rufina Bajing

Sr Marie Celine (tiga kanan) dan Sr Rufina (dua kanan) sama-sama memotong kek jubli, disaksikan oleh Uskup Agung Simon Poh (tiga kiri), para paderi dan para rohaniwati lain.

Oleh Sisters of St Francis of Sarawak (SSFS)

KUCHING — Pada 21 September lalu, kongregasi Sisters of St Francis of Sarawak (SSFS) telah meraikan Jubli Emas Ikrar Kaul Sr Marie Celine Wee dan Sr Rufina Bajing dengan tema: “Bernyanyilah dengan gembira kepada Tuhan dengan penuh kesyukuran di dalam hati kita” (Mazmur 95). 

Misa Kesyukuran dipimpin oleh Uskup Agung Simon Poh yang turut disertai oleh Uskup Agung Emeritus John Ha dan 14 orang paderi. Dalam homilinya, Uskup Agung Simon menekankan makna penting Jubli Emas sebagai suatu kesaksian akan kasih dan rahmat Tuhan yang tidak pernah berubah. Beliau memuji kedua-dua rohaniwati atas dedikasi, ketabahan dan pelayanan seumur hidup mereka dalam misi Gereja, khususnya melalui karisma semangat Fransiskan.

Bersandarkan petikan Injil, “Kamu tidak dapat mengabdi kepada Tuhan dan kepada wang”, beliau mengingatkan semua yang hadir bahawa kekayaan itu sendiri bukanlah sesuatu yang jahat, namun cinta akan wang boleh membutakan hati terhadap keperluan orang lain. 

Bagi para religius, khususnya dalam konteks kaul kemiskinan, panggilan itu jelas: meletakkan Tuhan di atas segala-galanya dan menggunakan sumber yang ada dengan murah hati demi kebajikan serta sokongan kepada sesama, terutamanya yang miskin. 

Akhirnya, beliau menyeru kedua-dua rohaniwati dan semua rohaniwati agar terus memberi inspirasi kepada orang lain melalui pelayanan yang penuh sukacita dan pengabdian sepenuh hati. 

Kehidupan mereka, yang dipersembahkan dalam kasih kepada Tuhan dan sesama, menjadi cahaya harapan bagi Gereja serta undangan kepada orang lain untuk mengikut Kristus dengan berani.

Perayaan diakhiri dengan majlis ramah mesra dan persembahan hiburan, di mana kedua-dua rohaniwati menyatakan rasa syukur mereka kepada Tuhan, kepada kongregasi SSFS, serta kepada semua yang telah menyokong mereka sepanjang perjalanan panggilan mereka.

Sr Rufina Bajing (kiri) dan Sr Marie Celine Wee (tengah) menerima cenderamata daripada Ketua Umum, Sr Rose Wong, semasa perhimpunan persaudaraan.
(Gambar: SSFS)

Sr Marie Celine Wee dilahirkan pada 12 Oktober 1950 dan menerima sakramen pembaptisan sebulan kemudian. Sejak kecil lagi, Tuhan telah menanam benih panggilan dalam hatinya.

Pada 1972, beliau menyertai SSFS sebagai calon ‘aspirant’. 

Pada tahun berikutnya, beliau menjadi ‘postulant’, dan pada 1975, beliau melafazkan Ikrar Kaul pertamanya. 

Lima tahun kemudian, pada 1980, beliau melafazkan Ikrar Kaul Kekal dan menyerahkan seluruh hidupnya kepada Tuhan. 

Pada 2000, beliau merayakan Jubli Perak dengan penuh kesyukuran, dan kini, beliau merayakan Jubli Emas dengan hati yang bersyukur.

Selama 43 tahun, Sr Marie Celine telah berkhidmat dengan setia dalam misi pendidikan.

Setelah menamatkan latihan perguruannya di Sibu (1976-1977), beliau mengajar di beberapa sekolah di seluruh Sarawak: Sekolah Chung Boon, Mukah (1978-1979), Sekolah St Rita, Sibu (1980-1991), dan Sekolah Chung Hua, Bau (1991-2005). 

Kemudian, beliau dilantik sebagai Guru Besar Tadika St Jude, Kuching (2007-2013) dan Sekolah Swasta St Joseph, Kuching (2014-2019). 

Selepas bersara, beliau terus berkhidmat di Tadika St Francis, Bau, pada 2020.

Bagi beliau, tugas mengajar bukan sekadar tanggungjawab, tetapi satu pelayanan – cara untuk membentuk minda muda dan memupuk hati dengan kasih. 

Beliau menghadapi setiap cabaran dengan keberanian, bersandar pada rahmat Tuhan, dan sering mengingatkan dirinya: “Dengan komitmen itu, saya berani menghadapi apa jua cabaran dan kesulitan demi pendidikan dan masa depan murid-murid saya.”

Menoleh ke belakang, Sr Marie Celine menyedari bahawa setiap ujian telah membentuk dirinya menjadi insan yang dikehendaki Tuhan. 

Beliau bersyukur atas penjagaan dan kesetiaan Tuhan sepanjang perjalanannya.

Kehidupannya yang penuh kesaksian dan pelayanan mencerminkan kata-kata Pemazmur: “Bernyanyilah dengan sukacita kepada Tuhan dan penuh kesyukuran di dalam hati kita” (Mazmur 95). 

Dengan rendah hati, beliau mengakhiri: “Segala kemuliaan bagi Tuhan atas segala yang seadanya pada saya dan segalanya yang telah diizinkan untuk saya berikan.”

Sr Rufina Clare Anak Bajing, seorang wanita Iban dari Nanga Sikat, Mukah, dilahirkan pada Ogos 1955 sebagai anak kedua daripada enam beradik. 

Dibesarkan dalam komuniti rumah panjang yang sederhana, beliau dibentuk dalam iman di Paroki Katolik Mukah.

Panggilannya bermula pada 1966 apabila paderi paroki, Fr July, menjemput beberapa gadis untuk membantu para rohaniwati di Biara St Anthony. 

Selama lima tahun, beliau membantu para rohaniwati di wad bersalin, dapur dan isi rumah. 

Ketika ditanya sama ada beliau ingin memiliki rantai emas, beliau dengan rendah hati menjawab, “Saya mahu menjadi rohaniwati.” 

Jawapan ringkas itu menjadi permulaan perjalanan panggilan hidup religiusnya. Pada 1972, beliau menyertai SSFS sebagai ‘aspirant’ di Kuching. 

Didorong oleh kehidupan St Bernadette dan St Thérèse of the Child Jesus, beliau memeluk kehidupan religius dengan sukacita dan kepercayaan penuh. 

Kerasulan awalnya termasuk pelayanan di Biara Bethany, Cheshire Home, dan kemudian di Biara St Bernadette, Marudi, di mana beliau setia berkhidmat selama 40 tahun sebagai matron asrama sekolah, yang menjaga pelajar perempuan, dan aktif dalam kehidupan paroki.

Pada 2019, beliau dipindahkan ke Yayasan La Salle, Kuching, sebagai matron bagi pelajar perempuan yang menuntut di Sekolah Swasta St Joseph. 

Sejak Februari 2024, beliau ditugaskan di Rumah St Clara, di mana beliau terus melayani dengan penuh dedikasi.

Sepanjang 50 tahun hidup sebagai religius, Sr Rufina menjadi saksi kasih setia Tuhan dalam segala suka dan duka. 

Beliau berkongsi: “Bagi saya, Yesus bukan sahaja Tuhan saya; Dia adalah ‘suami’ saya, segalanya bagi saya. Dia telah menyerahkan hidup-Nya untuk seluruh umat manusia, dan saya mempersembahkan hidup saya kembali kepada-Nya yang adalah Kasih saya.”

Kehidupannya yang sederhana namun memberi inspirasi terus mendorong wanita muda agar berani menjawab panggilan Tuhan: “Jangan takut untuk berkata ‘ya’ kepada Yesus. Dia tahu bagaimana mengasihi anda, menolong anda, dan meneguhkan anda.”

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: SSFS celebrates Golden Jubilee of Religious Profession of Sr Marie Celine and Sr Rufina Bajing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.