Oleh Lucy Norlina
MIRI —Pada 16 Mei 2026, satu Program Laudato Si’ telah berjaya dianjurkan bertempat di Gereja Roh Kudus Permyjaya dengan penyertaan seramai 71 orang peserta daripada pelbagai gereja Katolik dan pelayanan dari paroki Miri.
Program ini dimulakan dengan pengenalan serta penyegaran semula ikrar paroki ekologi yang sebelum ini telah dilancarkan oleh Bishop Richard Ng pada Jun 2025. Ikrar tersebut diperkenalkan kepada semua peserta sebagai satu komitmen bersama dalam menjaga alam ciptaan Tuhan.
Sesi waktu pagi dimulakan dengan warming up song, brief dan welcome oleh William Gan serta perkenalan ahli CJC (Creation Justice Commission). Sesi diteruskan dengan perkongsian oleh Gabrielyn berkaitan keadaan dunia masa kini dan krisis iklim yang semakin membimbangkan seperti belbagai pencemaran, pembaziran air dan makanan, ketidakstabilan global serta situasi dunia sekarang.
Seterusnya, Roselyn memberi penerangan mengenai ensiklik Laudato Si’ oleh Pope Francis serta kepentingan menjaga bumi sebagai “rumah bersama”. “Laudato Si’ mi Signore” membawa maksud “Terpujilah Engkau, Tuhanku” yang merangkumi enam bab utama.
Sesi diteruskan oleh Mathew yang membincangkan mengenai 7R iaitu Rethink, Refuse, Reduce, Reuse, Repurpose, Repair dan Recycle, dekarbonisasi serta masalah pencemaran plastik yang semakin serius dalam kehidupan harian masyarakat.
Pada sebelah petang pula, William menyampaikan sesi bertajuk panggilan untuk bertindak serta tindakan praktikal yang boleh dilakukan oleh umat. Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada 8 hingga 10 orang mengikut pelayanan di gereja masing-masing.
Setiap kumpulan diberi tugasan untuk merangka pelan tindakan serta membuat pembentangan berdasarkan protokol Paroki Ekologi. Sesi pembentangan tersebut turut disaksikan bersama oleh Fr Jack Nayak.
Antara cadangan dan kesimpulan yang dibentangkan oleh setiap kumpulan ialah:
• Menjimatkan penggunaan elektrik dengan menggunakan lampu solar.
• Penubuhan pasukan bantuan bencana alam seperti banjir untuk membantu paroki lain serta mengadakan kutipan bantuan.
• Menggalakkan penggunaan pinggan, sudu, garpu dan peralatan kitar semula semasa catering, fellowship, majlis gereja, perkahwinan dan pelbagai acara lain.
• Mengurangkan penggunaan petrol melalui amalan berjalan kaki, car pool serta menghentikan enjin kenderaan ketika menunggu.
• Menyediakan tong sampah 3R di setiap gereja bagi memudahkan umat mengasingkan dan menderma bahan seperti tin aluminium, kertas dan botol plastik.
• Cadangan mewujudkan “Laudato Si’ Garden” di convent, sekolah dan kawasan gereja.
• Projek tadahan air hujan untuk kegunaan kebun Laudato Si’• Aktiviti praktikal berkaitan penjagaan alam sekitar di semua Sunday School, RCIA, HCG serta melalui notis gereja.
• Menggalakkan pemakanan sihat seperti memperbanyakkan sayur-sayuran serta mengurangkan pengambilan daging, terutamanya daging lembu.
• Aktiviti penanaman pokok secara berterusan.
Pada waktu malam pula, diadakan Doa Perdamaian dengan Penciptaan yang dipimpin oleh Roselyn dan Anne. Setiap kumpulan diberikan lilin sebagai simbol harapan dan doa untuk alam sekitar. Setiap peserta turut diberikan sekeping nota dan meniup lilin setelah membaca nota yang diberikan.
Sebelum acara berakhir, satu sesi perkongsian khas telah disampaikan oleh salah seorang peserta iaitu Patrick, seorang nelayan dari Bakam. Beliau berkongsi pengalaman bagaimana sebelum ini aktiviti menangkap ikannya sering menyebabkan jalanya terkena kawasan batu karang (coral). Namun selepas mengikuti pelbagai program Laudato si’ sebelum ini, beliau mula menyedari kepentingan menjaga ekosistem laut. Kini beliau menggunakan pukat yang mempunyai pelampung agar tidak merosakkan batu karang dan habitat laut.
Program diteruskan dengan Misa Penutupan dan Perutusan Pertauliahan Peserta yang dipimpin oleh Fr Jack Nayak sebelum diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua peserta. Peserta pulang pada malam itu dengan semangat Laudato Si’ dalam kehidupan seharian demi menjaga bumi sebagai anugerah Tuhan untuk generasi akan datang.








































