Oleh HERALD MALAYSIA
KUALA LUMPUR — Menjelang sambutan Hari Merdeka ke-69, Majlis Perundingan Malaysia bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) menyeru seluruh rakyat Malaysia menolak politik kebencian serta kembali menghayati semangat sebenar pembinaan negara.
Dalam perutusan Hari Merdeka bertarikh Ogos 17, MCCBCHST mengajak rakyat menilai dengan jujur sama ada nilai-nilai yang diperjuangkan melalui kemerdekaan benar-benar dihayati dalam kehidupan bermasyarakat.
Kemerdekaan bukan untuk memecahbelahkan
Menurut majlis itu, kebebasan yang dicapai melalui kemerdekaan tidak seharusnya disalahgunakan untuk memecahbelahkan rakyat.
MCCBCHST melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan retorik politik yang menyeru pengundi membuat pilihan berdasarkan kaum dan agama, khususnya semasa pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan yang baru berakhir.
Naratif sedemikian, menurut majlis itu, boleh menimbulkan anggapan bahawa rakyat daripada kaum lain atau yang menganut agama lain perlu ditakuti, bukannya diterima sebagai rakan dalam membangunkan negara.
MCCBCHST turut memandang serius penyebaran ucapan kebencian dan prejudis, termasuk tuduhan umum bahawa masyarakat bukan Melayu atau bukan Islam mahu melemahkan kedudukan Islam.
Majlis itu menegaskan bahawa tuduhan sedemikian tidak bertanggungjawab, menyinggung perasaan serta bertentangan dengan semangat pembinaan negara. Ia hanya menimbulkan ketakutan, kecurigaan dan permusuhan antara masyarakat yang telah hidup bersama sejak turun-temurun.
Rakyat Malaysia mahu hidup aman dan harmoni tanpa mengira perbezaan. Oleh itu, perbezaan politik tidak wajar dijadikan alasan untuk memecahbelahkan komuniti, manakala sentimen kebencian mesti ditangani agar perpaduan negara tidak terhakis.
“Tiada rakyat Malaysia yang seharusnya dianggap sebagai musuh hanya kerana kaum atau agamanya. Agama juga tidak boleh dijadikan senjata untuk meraih keuntungan politik atau menimbulkan kecurigaan terhadap sesama warganegara,” tegas kenyataan itu.
Utamakan cabaran sebenar negara
MCCBCHST menegaskan bahawa polemik kaum dan agama hanya mengalihkan perhatian daripada cabaran sebenar negara, termasuk rasuah, kelemahan institusi, pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan peningkatan kos sara hidup.
Semangat Merdeka seharusnya menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan. Rakyat perlu mengekalkan identiti masing-masing sambil bersatu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Polarisasi kaum dan agama hanya akan mengancam perpaduan, pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial Malaysia.
Empat seruan MCCBCHST
Sehubungan itu, MCCBCHST menyeru:
1. Semua pemimpin politik menolak kempen yang mengeksploitasi isu kaum dan agama. Persaingan politik seharusnya berasaskan idea, integriti, kecekapan dan dasar yang dapat meningkatkan taraf hidup seluruh rakyat Malaysia.
2. Pihak berkuasa pula diminta bertindak tegas dan adil terhadap sesiapa sahaja yang menghasut kebencian atau permusuhan, tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau fahaman politik.
3. Para pemimpin agama diseru agar terus memupuk belas kasihan, sikap saling menghormati dan persefahaman, dengan men yedari bahawa setiap agama mengajarkan nilai keadilan, keamanan dan penghormatan terhadap martabat manusia.
4. Pada masa yang sama, setiap rakyat Malaysia diminta menolak ketakutan, maklumat palsu dan fitnah serta tidak membiarkan diri diperalatkan untuk memecahbelahkan masyarakat.
MCCBCHST menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan melindungi hak rakyat, manakala semangat kemerdekaan mesti terus dipertahankan dengan mengutamakan kebenaran, harapan dan perpaduan.
“Semoga Merdeka kali ini dikenang sebagai saat kita memilih negara, bukan perpecahan; kebenaran, bukan fitnah; harapan, bukan ketakutan; dan perpaduan, bukan kebencian,” kata kenyataan itu.
Perutusan tersebut ditandatangani oleh Ven Seck Chaio Ying, Uskup Dr T. Jeyakumar, Dao Zhang Tan Hoe Chieow, Sardar Jagir Singh dan Datuk Mohan Shan bagi mewakili komuniti agama masing-masing.











































