
Oleh Umat St Ann
KOTA PADAWAN — Jawatankuasa Pembentukan Iman (Faith Formation Committee) Gereja Katolik Santa Anna telah menganjurkan Seminar ‘Allah Menebus Dunia Kita Siri 5: Kesatuan Ilahi II’ selama lima hari, dari 4 hingga 8 Ogos 2026, di Gereja Santa Anna, Kota Padawan.
Seminar ini merupakan kesinambungan daripada siri pembentukan iman ‘God Redeeming Our World’ bagi tujuan membantu umat mendalami, memahami dan menghayati iman Katolik dengan lebih mendalam.
Ia telah disampaikan oleh Diakon Profesor Dr Sherman Kuek OFS, dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih kurang 500 orang umat.
Tema ‘Kesatuan Ilahi II’ membawa umat kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang hubungan manusia dengan Tuhan melalui kehidupan sakramental Gereja. Umat diajak untuk menyedari bahawa Tuhan sentiasa melaksanakan rancangan keselamatan-Nya dan tidak pernah berputus asa terhadap manusia.
Sakramen bukan sekadar upacara keagamaan, tetapi merupakan saluran rahmat Allah Taala yang membantu umat bertumbuh dalam iman dan semakin bersatu dengan Kristus.
Sepanjang seminar, umat dibimbing untuk mendalami beberapa aspek penting kehidupan sakramental, bermula dengan Sakramen Ekaristi sebagai sumber dan puncak kehidupan Kristian.
Pengajaran mengenai Ekaristi dan Misa Kudus membantu umat memahami bahawa penyertaan dalam Misa bukan sekadar kewajipan, tetapi merupakan sumber kekuatan rohani yang seharusnya membawa perubahan dalam kehidupan melalui kasih, pengampunan dan pelayanan kepada sesama.
Umat turut mendalami Sakramen Pentahbisan atau Kepaderian sebagai panggilan untuk memberikan diri kepada Kristus dan melayani Gereja serta umat-Nya.
Sementara itu, Sakramen Pengakuan Dosa atau Rekonsiliasi mengajak umat mengalami belas kasihan dan pengampunan Allah Taala serta kembali kepada-Nya dengan hati yang diperbaharui.
Pengisian mengenai Sakramen Perkahwinan pula menekankan bahawa kehidupan suami isteri merupakan suatu panggilan untuk saling mengasihi, setia, berkorban dan memberikan diri demi keluarga, Gereja dan masyarakat.
Sakramen Pentahbisan dan Sakramen Perkahwinan turut diperlihatkan sebagai sakramen pelayanan, kerana kedua-duanya menuntut pemberian diri demi kebaikan orang lain dan menjadi kesaksian kasih Kristus.
Secara keseluruhannya, seminar ini membawa umat melihat kehidupan sakramental sebagai satu perjalanan iman yang membawa manusia semakin dekat kepada Tuhan.
Melalui Ekaristi, Kepaderian, Rekonsiliasi dan Perkahwinan, umat disedarkan bahawa Tuhan terus hadir, bekerja dan mencurahkan rahmat-Nya dalam kehidupan manusia.
Sebagai penutup, sesi penangguhan rasmi dimulakan dengan sepatah dua kata daripada Rektor Gereja Santa Anna, Friar Don Don Ramerez, OFM.
Hadiah penghargaan kemudiannya diserahkan kepada Diakon Sherman sebagai tanda penghargaan atas kesudian beliau berkongsi ilmu dan pengajaran sepanjang seminar.
Penyerahan disempurnakan oleh Friar Don Don, diiringi oleh Saudara Judas Ligon selaku Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (PPC) dan Puan Rosemary selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembentukan Iman.
Majlis diteruskan dengan Doa Berkat Penutup Seminar yang dipimpin oleh Friar Don Don.
Semoga segala pengajaran dan perkongsian sepanjang seminar terus menjadi bekalan rohani kepada umat untuk semakin mengenali, mengasihi dan hidup dalam kesatuan dengan Kristus.
Semoga usaha pembentukan iman ini terus menyuburkan kehidupan sakramental umat dan membina komuniti Gereja Santa Anna yang hidup, bersatu dan berakar teguh dalam kasih Kristus.











































