Muzik suci bukan sekadar hiasan dalam liturgi

Oleh Media Vatikan

TAKHTA SUCI — Sri Paus Leo XIV me-negaskan bahawa muzik suci merupakan bahagian penting dalam tindakan liturgi dan bukan sekadar hiasan untuk memeriahkan sesuatu perayaan.

Meneruskan siri katekesis mengenai Perlembagaan Konsili Vatikan Kedua tentang Liturgi Suci, Sacrosanctum Concilium, Bapa Suci kali ini memberikan perhatian kepada bab keenam yang membicarakan muzik suci.

Beliau memetik dokumen tersebut yang menyifatkan tradisi muzik Gereja sejagat sebagai khazanah yang tidak ternilai dan lebih berharga daripada bentuk seni yang lain.

Menurut Sri Paus Leo, menyanyi dan memainkan muzik dalam liturgi bererti berdoa serta menyatukan hati dengan Tuhan dan sesama umat.

Melalui penyertaan aktif, umat bersama-sama memasuki misteri iman yang sedang dirayakan.

Memetik Sto Agustinus yang berkata, “Nyanyian adalah milik mereka yang mengasihi,” Bapa Suci menjelaskan bahawa muzik membantu umat membuka hati kepada karya rahmat Tuhan.

Nyanyian bersama turut membina persekutuan dengan menyatukan hati, mengatasi perbezaan dan menghimpunkan semua orang dalam pujian kepada Tuhan. Dengan demikian, muzik liturgi menjadi tanda nyata ke-satuan Gereja.

Sri Paus Leo menegaskan bahawa lagu liturgi perlu sesuai dengan waktu dan tujuan perayaan, bukannya sekadar mengikuti cita rasa semasa atau kecenderungan penggubah.

Melodinya hendaklah indah tetapi sederhana, bermutu tinggi dan mudah dinyanyikan, terutama apabila ditujukan kepada seluruh umat. Lirik-nya pula perlu mendalam, mudah difahami serta bersumberkan Kitab Suci, buku-buku liturgi dan Tradisi rohani Gereja.

Bapa Suci turut mengingatkan bahawa Konsili memberikan tempat istimewa kepada nyanyian Gregorian tanpa menolak bentuk muzik suci yang lain. Dalam konteks inkulturasi, tradisi muzik pelbagai budaya boleh diberikan ruang kerana tradisi tersebut menjadi sebahagian daripada kehidupan beragama dan sosial masyarakat.

Namun, penggunaannya memerlukan pertimbangan yang teliti agar sentiasa sesuai dengan martabat liturgi.

Mengulangi pesanan Santo Yohanes Paulus II, Paus Leo berkata muzik liturgi perlu bebas daripada gaya yang tidak indah, ungkapan yang kurang sesuai dan lirik yang tidak mencerminkan keagungan perayaan.

Mutu seni semata-mata tidak mencukupi. Muzik suci perlu selaras dengan teks, waktu liturgi, gerak-geri serta sifat upacara yang dirayakan.

Prelatus itu turut menekankan pentingnya pendidikan muzik suci di seminari, rumah pembentukan religius, sekolah dan institusi Katolik.

Para pemuzik dan penyanyi juga perlu menerima pembentukan liturgi yang kukuh supaya pelayanan mereka benar-benar membantu umat berdoa dan menyembah Tuhan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.