
Oleh Aloysius Lai
KUCHING — Paroki Katedral St Joseph menyambut Perayaan ‘Corpus Christi’ pada tahun ini dengan perarakan di lebuh raya di sini selepas Misa jam 5:00 petang pada Ahad, 22 Jun.
Perayaan Misa dipimpin oleh Uskup Agung Datuk Simon Poh, manakala para imam yang sama-sama merayakan Misa ialah Fr Nicholas Ng, Fr Mark Bonchol, Fr Davie Entalai, Fr John Chong, Fr Galvin Gumbang dan Fr Eugenio Maglasang.
Dalam homilinya, Uskup Agung Simon menjelaskan makna ‘Corpus Christi’ sebagai Tubuh dan Darah Kristus serta mengaitkannya dengan kehadiran Kristus dalam Firman Tuhan dan Ekaristi semasa Misa.
Kita telah dibaptis dalam Kristus, dan Kristus adalah bait Roh Kudus. Dalam kesatuan dengan Roh Kudus dan Kristus, kita sebagai Gereja membentuk Satu Tubuh Kristus.
Oleh itu, perayaan ‘Corpus Christi’ juga merupakan perayaan Gereja yang bersatu dengan Kristus sebagai Kepala.
Uskup Agung Simon berkata bahawa perarakan ‘Corpus Christi’ adalah saksi iman kita kepada Yesus yang hadir dalam Sakramen Maha Kudus, dan kita membawa Yesus ke jalan-jalan untuk memberkati bandar raya dan penduduk Kuching.
Pada akhir Misa, Sakramen Maha Kudus dipamerkan dalam sebuah monstran di altar dan kemudian dibawa keluar dalam perarakan oleh Uskup Agung Simon.
Perarakan berlampu lilin sepanjang Jalan Tun Abang Haji Openg dipimpin oleh pembawa salib, pembawa bendera belia, dan ahli-ahli ministri liturgi.
Gadis-gadis bunga dan kanak-kanak lelaki menabur bunga sepanjang laluan perarakan sebagai penghormatan kepada Sakramen Maha Kudus.
Para imam, rohaniwati dan seminarian juga menyertai perarakan bersama lebih 1,000 orang jemaat paroki. Semasa perarakan, umat menyanyikan lagu rohani.
Pada penghujung perarakan, satu upacara doa ringkas diadakan di menara loceng katedral. Jemaat berkumpul di tempat letak kereta di hadapan katedral. Upacara diakhiri dengan pemberkatan Sakramen Maha Kudus.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Corpus Christi Procession to bless the city and the people of Kuching