Oleh Lucy Norlina
MIRI — Perhimpunan Home Cell Group telah berjaya dianjurkan dengan kehadiran lebih 130 orang umat. Dipimpin oleh Sr Leah, Sr Anne, dan Sr Eden, objektif utama program ini adalah untuk menguatkan kehidupan rohani, memupuk semangat komuniti, hubungan sosial, dan keharmonian komuniti antara umat sekitar Tudan yang telah dibahagikan kepada tiga “Home Cell Group.”
Dengan matlamat utama memperkukuhkan kehidupan rohani, semangat komuniti, hubungan sosial dan interaksi antara umat dari pelbagai Lorong, Home Cell Group menjadi platform bagi umat saling menyokong dan bertumbuh dalam iman. Penubuhan Home Cell Group ini merupakan salah satu hasrat terbesar Uskup Richard dalam paroki dan direalisasikan melalui usaha gigih para Sister.
Asal-usul Home Cell Group bermula dengan lawatan rumah yang dilakukan oleh ketiga-tiga Sister bersama beberapa sukarelawan di seluruh kawasan Tudan. Mereka menjalankan temubual dan profiling, khususnya berkaitan sakramen yang diterima oleh setiap umat. Seterusnya, core group dibentuk yang terdiri daripada 15 orang, dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk membantu Sister dalam semua aktiviti termasuk mesyuarat, perancangan dan pelaksanaan program.
Perhimpunan dimulakan dengan lagu aksi dan sesi praise and worship yang penuh semangat, diikuti dengan perkongsian oleh Sr Leah mengenai perjalanan penubuhan Home Cell Group bermula daripada kumpulan kecil yang kini berkembang menjadi komuniti aktif, saling menyokong dan bertumbuh dalam iman.
Para peserta kemudian dibahagikan kepada kumpulan kecil untuk sesi perkongsian. Tiga soalan refleksi diberikan untuk dibincangkan:
1. Apakah pengalaman anda sepanjang mengikuti Home Cell Group, dan bagaimana ia membantu pertumbuhan iman anda?
2. Apakah cabaran atau kelemahan dalam pelayanan kita yang perlu diberi perhatian?
3. Apakah langkah kecil dalam pelayanan kita yang boleh diperbaiki atau ditingkatkan?
Setiap kumpulan kemudian membentangkan hasil perkongsian mereka secara terbuka. Sesi ini membantu mengukuhkan pemahaman iman melalui pengalaman, pandangan, dan dorongan antara satu sama lain.
Dalam pesannya, Fr Ronald mengingatkan umat dengan Firman dari Efesus 4:29:
“Janganlah ada perkataan kotor keluar dari mulutmu, tetapi pakailah perkataan yang baik untuk membangun, di mana perlu, supaya mereka yang mendengarnya beroleh kasih karunia.”
Fr. Ronald menekankan bahawa sebagai umat Tuhan, kita dipanggil untuk menjadi mata, telinga, mulut dan tangan Kristus menyampaikan kasih, pengharapan, dan kebenaran melalui tindakan dan perkataan yang membina. Perhimpunan ini bukan sekadar aktiviti mingguan, tetapi satu misi untuk mengenal Tuhan dan menjadi alat-Nya dalam kehidupan seharian.
Aktiviti sampingan seperti sesi soal jawab dan kuiz untuk kanak-kanak dan belia turut menyerikan suasana sambil memberikan pembelajaran rohani dalam suasana ceria. Golongan dewasa dan warga emas juga berpeluang berkongsi pengalaman serta cadangan bagi memperkukuhkan pelaksanaan Home Cell Group dalam komuniti.
Objektif aktiviti-aktiviti ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai umat Katolik di sekitar Tudan agar sama-sama terlibat dalam pelayanan, pertumbuhan iman, dan kehidupan komuniti.
Dari segi persiapan, acara ini berlangsung dengan teratur dan penuh kesungguhan. Meja pameran yang menampilkan patung Yesus, Bonda Maria, St. Anthony, Alkitab serta tayangan video disusun kemas dan menarik. Meja pendaftaran serta kawasan makan juga diurus dengan baik oleh para sukarelawan yang berdedikasi.
Di samping itu, terdapat pameran gambar dan video yang dihias indah, memaparkan aktiviti umat yang menyertai Home Cell Group di rumah-rumah mengikut giliran. Pameran ini menonjolkan penglibatan mereka dalam aktiviti seperti doa Rosari, perkongsian Injil, pujian, penyembahan dan nyanyian rohani.
Kerjasama umat dari persiapan awal hingga ke penghujung program memberikan impak positif dan menjadikan perhimpunan ini meriah. Perhimpunan ini menjadi lebih bermakna apabila umat membawa pot blessing untuk dikongsi bersama, serta bergotong-royong membersihkan kawasan gereja sebagai tanda kesatuan, kasih, dan keharmonian komuniti.
Secara keseluruhan, perhimpunan ini bukan sahaja mengukuhkan iman, malah memperdalam perpaduan dan memperbaharui semangat pelayanan. Semoga inisiatif seperti ini terus menjadi saluran berkat dan pertumbuhan rohani bagi seluruh komuniti Gereja St. Anthony Tudan.
Berita dalam Bahasa Inggeris: Home Cell Group Assembly













































