Hari Pesta St Bernadette: Dipanggil kepada Persekutuan dan Kasih

Gambar umat St Bernadette, Taman Samarindah bersama Rev Fr Aloysius Dirgahayu selepas Misa. Gambar: Aaron John

Oleh Felicia Aguan

KOTA SENTOSA — Pada 18 April 2026, komuniti St. Bernadette Taman Samarindah telah berhimpun dengan penuh kesyukuran di Sacred Heart Church, Kota Sentosa untuk merayakan Hari Pesta penaung mereka. Perayaan dimulakan dengan doa rosario, diikuti dengan Perayaan Ekaristi sebagai puncak dan sumber seluruh kehidupan Kristiani, yang dipimpin oleh Rev Fr Aloysius Dirgahayu. Dalam suasana liturgi yang khusyuk dan penuh makna, umat dipersatukan sebagai satu Tubuh Kristus dalam pujian, penyembahan, dan kesyukuran kepada Allah.

Dalam homilinya, Rev Fr Aloysius Dirgahayu mengajak umat untuk menghayati kehidupan sebagai sebuah komuniti iman yang saling melengkapi, diumpamakan sebagai sebuah “perahu” yang berlayar bersama dalam perjalanan iman. Setiap anggota dipanggil untuk saling mengasihi, menyokong, dan menguatkan antara satu sama lain, khususnya dalam saat-saat kelemahan dan keperluan. Beliau menegaskan bahawa kehidupan komuniti ini mencerminkan penghayatan tonggak misi Gereja, iaitu persekutuan dan kasih, sebagai tanda nyata kehadiran Kristus di tengah-tengah umat-Nya. Meneladani St Bernadette, umat diajak untuk hidup dalam kesederhanaan, kesetiaan, serta penyerahan diri yang penuh kepada kehendak Tuhan.

Selepas Perayaan Ekaristi, umat meneruskan persekutuan melalui jamuan makan tengah hari, yang mencerminkan semangat persekutuan umat sebagai asas kehidupan Gereja. Perayaan ini juga menjadi kesempatan untuk mengenang sejarah awal komuniti yang bermula pada tahun 2005 secara sederhana, namun terus bertumbuh sebagai sebuah komuniti iman yang hidup, bersatu, dan teguh dalam iman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.