Menikmati Rahmat Lent: Ziarah Iman,Pertaubatan dan Kebersamaan

Oleh Sr Catherine Uming SSFS

BUNAN TEBEDU — Sepanjang musim Lent, umat Katolik terus memperkasakan kehidupan iman melalui pelbagai aktiviti rohani yang menekankan sikap pertaubatan, doa dan kebersamaan di dalam renungan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Paska.

Di Paroki St Jude Bunan-Tebedu, beberapa pelayanan, termasuk Girumpung Dayung Katolik (GDK), Faith Formation untuk Penghulu Sembahyang (PS), Parish Youth Ministry (PYM) dan Girumpung Karismatik telah menganjurkan sesi renungan dan pembentukan iman.
Pada 21 Mac 2026, GDK Paroki telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan sesi renungan dan aktiviti iman bagi mengajak ahli-ahlinya untuk menghayati makna sebenar Lent yang bertemakan ‘Membawa Harapan dan Berkongsi Kasih Melalui Doa dan Pelayanan’ yang disampaikan oleh Sr Catherine Uming.

Masa ini dilihat sebagai masa rahmat – kesempatan untuk berhenti sejenak, merenung diri, serta kembali kepada Tuhan dengan hati yang tulus. Dalam kesibukan hidup, umat diingatkan bahawa Tuhan sentiasa menanti dengan kasih yang tidak berkesudahan.

Semasa sesi pembentukan dan animasi untuk Penghulu Sembahyang (PS) pada petang 22 Mac 2026, Father Cornelius menerangkan maksud Sacramentum et Exemplum kepada mereka serta mengingatkan mereka agar meneladani Kristus sebagai sakramen hidup dalam pelayanan harian mereka sebagai ketua umat di kampung masing-masing.

Penglibatan belia terserlah melalui Program Lenten Pilgrimage pada 21 Mac 2026 yang menghimpunkan seramai 206 peserta dari gereja kampung masing-masing.

Program ini merangkumi Jalan Salib, perkongsian rohani, doa peribadi dan perayaan Ekaristi.

Bagi para peserta, pengalaman ini menjadi satu ziarah iman yang menyentuh hati serta membuka kesedaran tentang panggilan hidup dan kehadiran Tuhan dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, kira-kira 300 umat menyertai ‘Lenten Walk’ pada 28 Mac 2026, sejauh hampir lima kilometer dari Gereja St Simon Peter, Kujang Sain, ke Gereja St Mark, Kampung Plaman.

Melalui 14 Perhentian Jalan Salib, umat merenungkan Kesengsaraan Kristus sambil menyatukan perjalanan hidup mereka dengan pengorbanan-Nya, dalam suasana doa, nyanyian dan renungan yang penuh makna.

Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja memperdalamkan penghayatan rohani, tetapi juga memperkukuhkan semangat kesatuan dalam komuniti gereja paroki, sekali gus mempersiapkan umat untuk menyambut dengan penuh makna dan sukacita misteri Kebangkitan Kristus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.