
Oleh Umat St Ann
KOTA PADAWAN — Rekoleksi Ketua Sembahyang Gereja Katolik St Ann Kota Padawan Siri 2/2026 telah diadakan pada 11 Julai 2026 di Gereja Katolik St Mary Magdalene, Kampung Emperoh Jambu.
Rekoleksi ini disampaikan oleh Friar Nelson Evarinus Sipalan, OFM dan dihadiri oleh seramai 275 orang ketua sembahyang.
Program dimulakan dengan pendaftaran para peserta, diikuti dengan doa Rosari dan persiapan bagi Misa Kudus. Setelah selesai perayaan Misa Kudus, peserta mengikut sesi ceramah dan renungan yang turut disampaikan oleh Friar Nelson.
Ceramah pertama bertajuk ‘Peranan Ketua Sembahyang Mengikut St Angela Merici’. Dalam sesi ini, ketua sembahyang diingatkan tentang tanggungjawab dan peranan mereka sebagai pemimpin serta teladan kepada umat.
Sebagai ketua sembahyang, mereka bukan sahaja dipanggil untuk memimpin umat dalam doa, tetapi juga perlu menunjukkan teladan hidup Kristiani melalui perkataan, perbuatan dan sikap seharian.
Friar Nelson turut menekankan tiga perkara penting yang perlu diamalkan oleh setiap ketua sembahyang dalam menjalankan pelayanan mereka, iaitu menasihati, mengampuni dan mengasihi.
Ketua sembahyang hendaklah sentiasa memberikan nasihat dengan penuh kasih dan kebijaksanaan, belajar untuk mengampuni kesalahan sesama serta mengasihi semua orang tanpa mengira kelemahan dan kekurangan mereka.
Peserta juga diingatkan supaya tidak mudah menghakimi orang lain kerana hanya Tuhan yang berhak menghakimi setiap manusia. Sebaliknya, ketua sembahyang hendaklah menjadi contoh yang baik dan membantu umat untuk semakin dekat dengan Tuhan.
Ceramah kedua pula memberi tumpuan kepada topik ‘Penggunaan Air Suci’. Sesi ini memberikan pemahaman kepada ketua sembahyang mengenai makna dan penggunaan air suci dalam kehidupan iman umat Katolik.
Turut disentuh ialah peranan ketua sembahyang dalam membantu umat berkaitan dengan pemberkatan rumah, kereta dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan harian umat.
Sesi soal jawab turut mendapat sambutan yang baik daripada peserta. Lebih daripada 10 soalan telah dikemukakan, khususnya berkaitan dengan air suci dan penggunaannya.
Sesi ini memberikan peluang kepada ketua sembahyang untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut serta memperdalam pemahaman mereka supaya dapat memberikan bimbingan yang lebih baik kepada umat dalam pelayanan masing-masing.
Secara keseluruhannya, Rekoleksi Ketua Sembahyang ini telah menjadi satu kesempatan yang bermakna bagi ketua sembahyang untuk memperbaharui iman, memperdalam pemahaman tentang tanggungjawab pelayanan serta menyedari kembali panggilan mereka sebagai teladan kepada umat.
Melalui rekoleksi ini, ketua sembahyang diingatkan untuk sentiasa melaksanakan pelayanan dengan hati yang penuh kasih, sedia mengampuni, bijaksana dalam menasihati, dan tidak menghakimi sesama.
Rekoleksi diakhiri dengan ucapan penutupan dan pemberkatan oleh Friar Nelson.
Segala perkongsian dan pengajaran yang diterima sepanjang rekoleksi ini diharapkan dapat terus dihayati dan diamalkan oleh semua ketua sembahyang dalam kehidupan serta pelayanan mereka, untuk membantu umat bertumbuh dalam iman dan semakin dekat dengan Tuhan.









































