Setia Sehingga Akhir: Belia PYM Sri Aman Sahut Panggilan Pelayanan di Gunung Singai

Dari Gunung Singai, peserta pulang dengan hati yang diperbaharui. Bersama Fr Henry Jimbey (jubah hijau), para belia PYM Sri Aman menyahut panggilan untuk terus melayani dengan iman, kerendahan hati dan kesetiaan. ‘Setia Sehingga Akhir’ bukan sekadar tema, tetapi komitmen sebagai pelayan Kristus.

Oleh Peter Tan Boon Leong

SIMANGGANG — Seramai 19 belia dari Ministri Belia Paroki (PYM) Sri Aman, yang mewakili komuniti Gereja Holy Family (Betong) dan Gereja Our Lady Queen of Peace (Simanggang), telah menyertai Retreat Servants & Music Ministry 2026 yang berlangsung pada 1 hingga 2 Ogos 2026 di Catholic Memorial and Pilgrimage Centre (CMPC), Gunung Singai, Bau. 

Bertemakan ‘Setia Sehingga Akhir’, retreat yang dikendalikan oleh Fr Henry Jimbey ini bertujuan untuk memperbaharui semangat pelayanan dalam kalangan belia, memperkukuh iman serta mengajak para peserta untuk merenungkan kembali makna sebenar panggilan mereka sebagai pelayan di dalam Gereja.

Apa yang menjadikan retreat ini unik ialah ketiadaan program tentaif yang terperinci dan arahan yang jelas kepada peserta sepanjang aktiviti berlangsung. 

Pendekatan ini sengaja digunakan untuk melihat bagaimana para peserta bertindak balas terhadap situasi yang tidak dijangka serta sejauh mana mereka bersedia mengambil inisiatif, memikul tanggungjawab dan bekerjasama tanpa perlu disuruh.

Salah satu pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam ialah ketika pendakian menuju ke CMPC. Tanpa arahan khusus, para peserta secara spontan membawa batu dan pasir untuk dibawa ke pusat ziarah di atas bukit. 

Tindakan yang sederhana ini menjadi gambaran nyata tentang semangat pelayanan yang lahir daripada hati yang rela dan kesediaan untuk berkorban demi kepentingan bersama.

Melalui sesi perkongsian dan renungan, Fr Henry mengajak para peserta untuk merenungkan beberapa persoalan penting: “Mengapa saya masih berada dalam Gereja Katolik?” dan “Mengapa saya masih melayani?” 

Persoalan-persoalan ini mendorong setiap peserta untuk menilai kembali motivasi mereka dalam pelayanan agar sentiasa berpusat kepada Kristus dan bukannya kepada kepentingan diri sendiri.

Antara mesej yang paling menyentuh hati para peserta ialah: “Jika jalan kita adalah betul, maka berkat kita tetap sentiasa ada”, dan “Yesus adalah tunjang kita di dalam Gereja”.

Selain sesi rohani, peserta turut menyertai pelbagai aktiviti permainan yang menguji pengetahuan mereka mengenai kehidupan gereja, cabaran pelayanan masa kini, ajaran iman Katolik dan pengetahuan Al-Kitab. 

Aktiviti tersebut membuka ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan tentang cabaran yang sedang dihadapi dalam pelayanan belia pada masa kini.

Satu lagi pengisian yang memberi kesan mendalam adalah renungan daripada Injil Yohanes mengenai peristiwa Yesus membasuh kaki para murid-Nya. 

Fr Henry menjelaskan bahawa tindakan Yesus mengikat kain pada pinggang-Nya melambangkan kerendahan hati, kesediaan untuk melayani serta sikap seorang ketua yang sanggup mendahulukan orang lain. Melalui teladan Kristus itu, peserta diingatkan bahawa kepimpinan sejati bermula dengan pelayanan yang tulus dan rendah hati.

Retreat ini bukan sahaja berjaya memperkukuh persaudaraan antara belia dari Gereja Holy Family (Betong) dan Gereja Our Lady Queen of Peace (Simanggang), malah turut memperbaharui semangat mereka untuk terus melayani Tuhan dan Gereja dengan penuh komitmen. 

Selaras dengan tema ‘Setia Sehingga Akhir’, peserta pulang dengan hati yang diperbaharui dan kesedaran bahawa pelayanan bukan sekadar tugas atau tanggungjawab, tetapi merupakan satu panggilan untuk berjalan bersama Kristus dan melayani sesama dengan kasih, kerendahan hati dan kesetiaan yang berterusan.

“Pelayanan yang sejati bukanlah tentang kedudukan yang kita miliki, tetapi tentang hati yang sanggup melayani seperti Kristus.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.