Hari Keluarga Zon Taman eratkan persaudaraan umat

Acara perasmian menyaksikan penyertaan Fr Don Don Ramerez, OFM (empat kiri) dan Fr Nelson Evarinus, OFM yang beraksi dengan menyumpit. - Photo: Media St Ann

Oleh Umat St Ann

KOTA PADAWAN — Hari Keluarga Zon Taman 2026 berlangsung meriah di Dewan St Anthony, St Ann Kota Padawan, pada 16 September lalu, dengan penyertaan 12 pasukan yang mewakili komuniti umat di kawasan tersebut.

Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah Taman Duranda Emas, Taman Bandar Baru Siburan, Taman Penrissen 2, Taman Greenwood, Taman Landeh, Taman Sri Muhibbah, Taman Perwira Cahaya, RPR Landeh, RPR Batu 12, Komuniti Cina, Komuniti Iban Apostolate, dan AJK St Ann Feast Day 2026.

Program dimulakan dengan Misa Kudus, diikuti sesi senaman aerobik yang dikendalikan oleh instruktur jemputan. Para peserta kemudiannya menikmati sarapan pagi bersama sebelum majlis diteruskan dengan doa pembukaan.

Majlis perasmian disempurnakan menerusi ucapan dan gimik perasmian oleh Fr Don Don Ramerez, OFM dan Fr Nelson Evarinus, OFM.

Pelbagai  permainan berkumpulan kemudian diadakan bagi menguji kerjasama, kreativiti dan ketangkasan peserta, antaranya Tic Tac Toss, Pyramid, Musical Cup, Cuppy Hands, Pinpoint, Muka Biskut dan Cocobowl, selain acara tarik tali.

Acara tarik tali menjadi antara kemuncak program apabila setiap pasukan memberikan saingan sengit, disokong sorakan dan galakan daripada para peserta.

Program turut diserikan dengan cabutan bertuah yang menambahkan lagi kemeriahan acara.

Secara keseluruhannya, Hari Keluarga Zon Taman 2026 menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kekeluargaan dan persaudaraan dalam kalangan umat.

Program berakhir kira-kira jam 3:00 petang dengan para peserta bersurai selepas meluangkan masa bersama keluarga dan komuniti dalam suasana santai dan penuh kemesraan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.