Menyambut ulang tahun ke-50 Keuskupan Agung Kuching melalui FJIMG: Meneruskan perjalanan pemuridan

Gambar berkumpulan pada penghujung program FJIMG di ACCPC, 17 Oktober 2026. (Foto: Today’s Catholic/Clare Wong)

Oleh Perpetua Phang

KUCHING — Sesi penutup program ‘Mengikuti Yesus dalam Injil Markus’ (Following Jesus in Mark’s Gospel – FJIMG) telah berlangsung pada Sabtu, 17 Oktober 2026, di ACCPC. 

Penutupan ini bukanlah noktah pengakhiran, sebaliknya satu lagi langkah berterusan dalam perjalanan pemuridan para peserta, dengan memperdalam pertemuan mereka dengan Yesus melalui Injil Markus, doa, renungan, perkongsian dan Perbualan dalam Roh (Conversation in the Spirit).

Dalam ucapan penutupnya, pengerusi pasukan perancang merakamkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan FJIMG, serta mereka yang telah menyatakan kesediaan untuk menyertai perjalanan ini. 

Beliau menggalakkan para peserta agar tidak menganggap sesi penutup tersebut sebagai pengakhiran.

Setelah mengalami sendiri perjalanan FJIMG, para peserta diajak untuk meneruskan pengalaman tersebut dan membahagikannya dengan orang lain dalam paroki, pelayanan, keluarga, kumpulan sel dan komuniti masing-masing.

Beliau turut memaklumkan bahawa bahan-bahan sokongan dalam bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Malaysia sedang disediakan untuk membolehkan para peserta melaksanakan program FJIMG dalam paroki, pelayanan, keluarga, kumpulan sel dan komuniti masing-masing. 

Dengan cara ini, FJIMG dapat terus berkembang melalui mereka yang telah mengalaminya dan kini bersedia berkongsi perjalanan tersebut dengan orang lain.

Sesi terakhir, iaitu Sesi 17 dan 18, telah dipimpin oleh Uskup Agung Emeritus John Ha, yang sekali lagi membawa para peserta menyelami kekayaan Injil yang tidak pernah habis diterokai, serta pewartaan utamanya: Yesus Kristus, yang telah disalibkan dan bangkit daripada kematian, ialah Anak Tuhan dan penyingkapan kasih penyelamatan Tuhan bagi seluruh umat manusia.

Oleh itu, FJIMG bukan sekadar satu program mengenai Yesus, tetapi merupakan satu undangan untuk mengalami pertemuan peribadi dengan-Nya, menjadi murid-Nya dan menyahut panggilan-Nya: “Ikutlah Aku.”

Dalam ucapan penutupnya, Uskup Agung Simon Poh mengambil petikan daripada 1 Tesalonika 1:1-5, ketika Santo Paulus mengucap syukur atas jemaat di Tesalonika serta mengenang pekerjaan iman, usaha kasih dan ketekunan pengharapan mereka. 

Beliau mengingatkan bahawa Injil telah disampaikan kepada mereka bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi juga “dengan kuasa, dalam Roh Kudus, dan dengan keyakinan yang teguh”.

Pesanan ini amat sesuai sebagai penutup program FJIMG. Perjalanan ini tidak seharusnya terhenti pada sesi-sesi yang telah diikuti atau kata-kata yang telah didengar dan dikongsikan. 

Sebaliknya, Injil kini harus dihidupkan dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui iman yang dinyatakan dalam perbuatan, kasih yang melayani serta pengharapan yang tekun, dengan kekuatan daripada Roh Kudus.

Beberapa peserta turut membahagikan pengalaman mereka sepanjang mengikuti program tersebut.

“Mengikuti Yesus dalam Injil Markus memberikan saya pengalaman untuk mengenali kehidupan Yesus dalam Al-Kitab, khususnya kerendahan hati dan pengorbanan-Nya. Perbualan dalam Roh mengajar saya untuk mendengar secara aktif, menghayati keheningan dan membuka hati kepada Roh Kudus. Program seumpama ini harus diteruskan pada masa hadapan demi manfaat komuniti Gereja.”
(Jeffrey Crispin, Katedral St Joseph)

“FJIMG telah mengukuhkan iman saya kepada Yesus Kristus dan memperdalam pemahaman saya tentang Injil. Melalui Sesi 1 hingga 18, saya belajar untuk mempercayai Yesus, mengikuti ajaran-Nya dan hidup sebagai murid-Nya. Saya berharap dapat berkongsi kasih Tuhan, memberi inspirasi kepada orang lain serta membawa program FJIMG ke paroki dan komuniti saya.”
(Frankie Anak Jemat, Gereja St Theresa)

“FJIMG merupakan satu perjalanan bermakna yang telah mengukuhkan iman saya dan memperdalam hubungan saya dengan Yesus. Program ini mengajar saya untuk lebih mempercayai Tuhan, merenungkan Sabda-Nya dan menyedari kehadiran-Nya dalam kehidupan seharian. Saya berharap dapat berkongsi iman dan kasih ini dengan keluarga, paroki dan komuniti saya.”
(Julah Anak Nase, Gereja St Ann)

“FJIMG telah memperkaya iman dan pemahaman saya tentang Injil Santo Markus. Saya juga berpeluang berkenalan dengan ramai sahabat baharu. Inisiatif ini amat mengagumkan. Saya terdorong untuk membaca Al-Kitab dengan perspektif dan pemahaman yang baharu. Saya berharap program ini dapat diteruskan dengan menggunakan kitab-kitab Injil yang lain.”
(Audrey May Sebastian, Gereja Holy Trinity)

“Saya, Lazarus Maclean Mike dari Gereja Holy Trinity, ingin berkongsi bahawa sepanjang mengikuti program ‘Mengenali Yesus dalam Injil Markus’ selama 18 sesi, saya menyedari bahawa kita tidak seharusnya takut untuk menyatakan iman kita. Kita harus berani memikul salib kerana salib merupakan lambang bagi semua umat yang percaya, dan mengakui bahawa Yesus menderita sebagai Anak Tuhan. Tuhan memberkati.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.