
Oleh Fr Adrain Kho
LUNDU — Pada 7 Jun lalu, jam 4:30 petang, Paroki Roh Kudus bersukacita menyaksikan pentahbisan salah seorang anak paroki mereka sendiri sebagai diakon, iaitu Brother Dannie Luis anak Romanus.
Diakon Dannie berasal daripada komuniti Selako dari Kampung Sebiris di sini.
Pentahbisan diakon ini dirayakan oleh Uskup Agung Datuk Simon Poh bersama Uskup Agung Emeritus John Ha selain para paderi dan seorang diakon.
Upacara ini turut disaksikan oleh umat beriman, terutamanya dari paroki itu sendiri.
Ini merupakan kali pertama upacara pentahbisan diadakan dalam bangunan Gereja Holy Spirit baharu yang agak kecil.
Bagi menampung jumlah hadirin yang ramai, kerusi dan skrin televisyen telah disediakan di kawasan tempat letak kereta di bawah gereja agar umat yang tidak ada tempat duduk di dalam gereja tetap dapat mengikuti upacara dan mengambil bahagian.
Selepas upacara pentahbisan, jamuan ‘potluck’ diadakan di bawah gereja.
Umat dari kesemua 23 gereja kampung dalam paroki itu membawa pelbagai jenis hidangan untuk dikongsi dalam suasana perayaan yang meriah.
Jamuan tersebut turut diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan yang menampilkan warisan budaya masyarakat Selako.
Hari berikutnya adalah Hari Minggu Pentekosta, yang juga merupakan pesta penaung paroki.
Diakon yang baru ditahbis menyampaikan homili pertamanya dalam Misa Pentekosta yang dipimpin oleh Uskup Agung Simon.
Ia benar-benar menjadi berkat buat paroki kerana dapat menyambut pesta penaung bersama anugerah seorang diakon baharu yang berasal daripada komuniti paroki sendiri.
Latar Belakang Seminari Dannie Luis
2014: Memasuki College General, Pulau Pinang, untuk Tahun Bahasa Inggeris.
2016: Pengalaman pastoral di Katedral St Joseph, Kuching, dan Gereja St Theresa, Serian.
2017: Tahun Permulaan di Kolej St Peter (SPC), Kota Kinabalu, Sabah.
2018-2019: Ta hun Falsafah di College General, Pulau Pinang.
2018-2024: Pelibatan pastoral (1-4 bulan setiap tempat) di Gereja Holy Spirit, Lundu; Gereja St Theresa, Serian; Gereja St Stephen, Bau; Katedral St Joseph, Kuching; Gereja Holy Spirit, Kota Sentosa; Gereja Holy Trinity, Kenyalang Park.
2020-Mei 2024: Tahun Teologi di SPC, Kuching, Sarawak.
2021: Dilantik sebagai lektor.
2022: Dilantik sebagai akolait.
15 Jun 2024: Pelibatan pastoral di Paroki St Theresa, Serian, selepas tamat pengajian di SPC.
Selepas pentahbisan pada 7 Jun lalu, Diakon Dannie terus melayani umat di Paroki St Theresa, Serian.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Pentecost Gift to the local Church