Keuskupan Agung Kuching lancar Sambutan Ulang Tahun ke-50 pada Hari Raya Santo Yosef

RASMI...Uskup Agung Simon Poh melancarkan logo Ulang Tahun ke-50. (Gambar: SJC Media)

Oleh Ivy Chai

KUCHING – Tarikh 18 Mac 2026 terpahat dalam lipatan sejarah Keuskupan Agung Kuching. Pada hari tersebut, iaitu Vigil Hari Raya Santo Yosef, Suami kepada Perawan Maria, keuskupan agung telah melancarkan Sambutan Ulang Tahun ke-50.

Dalam homili beliau, Uskup Agung Simon Poh berkongsi mengapa Santo Yosef begitu penting. Santo Yosef ialah santo penaung Katedral St Joseph dan Keuskupan Agung Kuching, santo penaung Persatuan Misionari Mill Hill, serta santo penaung misi di seluruh dunia. Uskup Agung Simon turut mengimbas sejarah Gereja Katolik di Kuching, permulaannya yang sederhana, serta bagaimana ia berkembang menjadi seperti hari ini.

Para Misionari Mill Hill memainkan peranan penting dalam membawa kepercayaan Katolik ke Kuching dan seterusnya. Merekalah yang pertama kali tiba di “tanah Borneo, tanah pemburu kepala” pada tahun 1881, yang akhirnya membawa kepada penubuhan Keuskupan Agung Kuching pada tahun 1976.

“Hari ini, kita merayakan 50 tahun di bawah naungan Santo Yosef,” kata Uskup Agung Simon Poh, sambil mengajak kita untuk belajar daripada Santo Yosef … kesetiaannya, ketaatannya kepada Tuhan, dan supaya tidak takut untuk berkata “Ya” kepada Tuhan.

50 Tahun – Diberkati dengan tiga orang Uskup Agung

Keuskupan Agung Kuching mengaitkan asas penubuhannya kepada Uskup Agung Emeritus Peter Chung Hoan Ting yang tiba di Kuching sebagai seorang misionari muda dari Wilayah Hubei, China, pada tahun 1954.

Dari kiri ke kanan: Fr Michael Corcoran, MHM, Uskup Agung Emeritus Peter Chung, Uskup Agung Simon Poh, dan Uskup Agung Emeritus John Ha.

Beliau menjadi Uskup Agung pertama Kuching apabila Wilayah Eklesias Malaysia Timur ditubuhkan pada tahun 1976. Beliau bersara sebagai Uskup Agung Kuching pada tahun 2003 dan digantikan oleh Uskup Agung John Ha Tiong Hock yang bersara pada tahun 2017. Uskup Agung Simon Poh menjadi Uskup Agung ketiga dan meraikan ulang tahun ke-9 pelantikan beliau pada tahun ini.

Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 Keuskupan Agung Kuching

Uskup Agung Simon Poh melancarkan Sambutan Ulang Tahun ke-50 dengan memperkenalkan logo rasmi Jubli. Beliau menjelaskan bahawa sambutan ini merangkumi fokus selama lima tahun, iaitu RAHMAT (2026), KESYUKURAN (2027), PERTUMBUHAN (2028), HIMPUNAN (2029) dan KEMULIAAN (2030). 

Pengerusi pasukan perancang Ulang Tahun ke-50, Perpetua Phang, kemudian menjelaskan rasional logo tersebut serta mengiktiraf dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pelancaran itu, dalam apa jua cara sekalipun.

Penghormatan kepada Para Misionari dan Umat Awam

Fr Michael Corcoran, Superior Jeneral Persatuan Misionari Mill Hill (MHM) yang dijemput untuk menyaksikan pelancaran Ulang Tahun ke-50, memberikan penghormatan kepada semua anggota MHM yang pernah berkhidmat di sini serta “generasi paderi tempatan yang telah membawa keuskupan ini sehingga menjadi seperti pada hari ini”, dan yang paling penting, “umat awam di kawasan metropolitan Kuching, Sibu dan Miri”.

Fr Michael menyaksikan “karya besar yang telah dilakukan Tuhan melalui umat yang telah dipilih-Nya”. Beliau mengaitkan pertumbuhan Gereja Katolik dengan “alat-alat” yang digunakan oleh para misionari sejak tahun 1881… Iman, Semangat dan Sukacita, serta perutusan kasih Tuhan kepada umat-Nya. Beliau berjanji bahawa MHM akan menjadi “teman seperjalanan dan terus berjalan bersama” Keuskupan Agung Kuching.

Uskup Agung Simon Poh kemudian menyampaikan sepanduk Ulang Tahun ke-50 dan kad doa kepada para rektor paroki, rektor seminari dan SSFS, serta mengajak umat yang hadir untuk mendoakan Doa Ulang Tahun yang baru dilancarkan.

Misa Vigil diakhiri dengan Uskup Agung Simon Poh mengucapkan terima kasih kepada perkumpulan MHM kerana menanam benih iman Katolik pada tahun 1881, dan bersama dengan Uskup Agung Emeritus Peter Chung Hoan Ting dan Uskup Agung Emeritus John Ha Tiong Hock, memberikan berkat penutupan.

Hari Raya Santo Yosef juga menandakan Ulang Tahun ke-57 pemberkatan Katedral St Joseph (pada tahun 1969).

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Kuching Archdiocese Launches 50th Anniversary Celebrations

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.