Sambutan Gawai Kaamatan Gereja St Ann Kota Padawan: ‘Segulai Sejalai’ Iman Kristus,Borneo Bersatu

Barisan pengacara majlis yang penuh dengan senyuman. (Foto: St Ann Media)

Oleh Umat St Ann

KOTA PADAWAN — Gereja St Ann Kota Padawan telah menganjurkan Sambutan Gawai Kaamatan 2026 bertemakan ’Segulai Sejalai’ Iman Kristus, Borneo Bersatu dengan penuh meriah dan semangat perpaduan.

Sejak awal Mac lagi, umat mula bergotong-royong untuk membuat persiapan bersama jawatankuasa komuniti serta pelbagai ministri gereja demi menjayakan program tahunan ini.

Antara tarikan utama sambutan pada kali ini ialah pembinaan rumah panjang lima pintu hasil gabungan lima zon, iaitu Zon Taman, Zon Simpok, Zon Teng Bukap, Zon Penrissen dan Zon Siburan. Setiap zon mewakili kepelbagaian suku kaum seperti Iban, Penyawak, Biatah dan Bidayuh Serian. Pembinaan rumah panjang itu dimulakan sejak penghujung bulan April lagi.

Sambutan ini turut dimeriahkan dengan penyertaan komuniti Kadazan-Dusun Cultural Association (KDCA) serta komuniti Cina, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian antara budaya di bawah satu iman dalam Kristus.

Program membuka tirai pada 15 Mei 2026 (Jumaat) dengan Doa Novena Roh Kudus sebagai persediaan menyambut Pesta Pentekosta, diikuti dengan perayaan Misa Kudus.

Selepas Misa, majlis perasmian Gawai Kaamatan 2026 diteruskan dengan pelbagai aktiviti ramah mesra seperti persembahan nyanyian dan tarian daripada Ministri Belia serta jualan gerai yang memeriahkan suasana malam tersebut.

Pada 16 Mei 2026 (Sabtu), program diteruskan dengan Misa Kesyukuran yang dipimpin oleh Friar Don Don Ramerez Ramerez, OFM bersama Friar Nelson Evarinus, OFM.

Misa tersebut diserikan dengan tarian tradisional pembukaan serta persembahan budaya daripada pelbagai suku kaum. Setelah Misa selesai, tetamu jemputan berarak menuju ke pentas utama untuk acara simbolik menuai padi dan paluan gong antara zon.
Lawatan ke rumah-rumah tradisi turut menjadi kemuncak sambutan apabila hadirin dibawa mengunjungi Rumah Cina, rumah panjang dari pintu ke pintu, serta Rumah Sabah.

Setiap rumah mempersembahkan budaya, makanan dan cara sambutan yang unik kepada para tetamu. Suasana dipenuhi dengan gelak tawa, kemeriahan dan semangat persaudaraan yang jelas terpancar dalam kalangan umat.

Selain memperkenalkan budaya pelbagai kaum melalui dekorasi rumah serta hidangan tradisional, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan di pentas utama.

Pada sebelah malam selepas Misa Senja, sambutan diteruskan dengan persembahan tarian tradisional bersama artis jemputan.
Penyampaian hadiah bagi pertandingan tarian persembahan turut diadakan, dan Johan Persembahan Tarian pada tahun ini telah dimenangi oleh Tateh Sri Dance Crew.

Program diteruskan lagi pada 17 Mei 2026 (Ahad) dengan aktiviti ramah mesra, jualan gerai dan persembahan daripada wakil setiap zon serta komuniti yang terlibat.

Keputusan pertandingan rumah tradisi turut diumumkan, dengan johan dimenangi oleh Zon Siburan, tempat kedua oleh Zon Penrissen, dan tempat ketiga oleh Zon Simpok.

Secara keseluruhannya, Sambutan Gawai Kaamatan 2026 ini telah berjalan dengan lancar hasil kerjasama erat semua KGK, KGT dan ministri gereja. Keunikan budaya serta semangat cinta kasih yang dipamerkan menjadi lambang kesyukuran atas segala kurniaan Tuhan.
Semoga sambutan ini terus menjadi wadah untuk mempererat perpaduan umat serta mendekatkan setiap insan kepada Tuhan dalam kehidupan seharian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.