Oleh Aveil Olga
PULAU PINANG — “Berakar dan Bersatu dalam Kristus, Bersatu dalam Gereja Melalui Tradisi dan Budaya” menjadi tema utama sambutan Pesta Kaamatan, Gawai dan Kesyukuran 2026 Peringkat Keuskupan Pulau Pinang yang berlangsung dengan penuh meriah di Minor Basilica of St Anne.
Sambutan ini berjaya menghimpunkan lebih 750 umat daripada pelbagai latar belakang budaya dan bangsa bagi meraikan semangat perpaduan dalam iman Kristiani.
Perayaan ini turut diserikan dengan kehadiran dan perasmian oleh Kardinal Sebastian Francis bersama para paderi, iaitu Fr Louis, Fr Konstend, Fr Rudolf dan Fr Cosmas.
Turut hadir ialah Diakon Isaac, Diakon Lazarus, Sr M. Lucynia, FSIC serta Sr M. Tauria Taurin, FSIC yang sama-sama memeriahkan sambutan penuh bermakna ini.
Dalam homili semasa Misa Kudus, Kardinal Sebastian menegaskan bahawa “berakar dalam Kristus” membawa maksud kehidupan umat Kristian harus mempunyai dasar yang kuat, iaitu Yesus Kristus sendiri.
Beliau turut menjelaskan bahawa “bersatu dalam Gereja melalui tradisi dan budaya” bermaksud iman tidak memisahkan budaya dan adat resam, sebaliknya menyatukan umat dalam kepelbagaian bahasa, adat istiadat serta cara hidup yang berbeza.
Pesanan tersebut menyentuh hati jemaat yang hadir dan mengingatkan bahawa Gereja adalah kediaman bagi semua bangsa dan budaya.
Sambutan pada tahun ini merupakan penganjuran kali ke-4 dan dipengerusikan oleh Saudara Byron bersama jawatankuasa pelaksana dengan kerjasama beberapa paroki di bawah naungan Keuskupan Pulau Pinang. Usaha dan komitmen semua pihak berjaya menganjurkan acara ini dengan lancar serta penuh semangat kekeluargaan.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang sambutan, antaranya persembahan tarian tradisional dari Sabah dan Sarawak yang memukau hadirin.
Selain itu, acara cabutan tiket bertuah turut mendapat sambutan hangat dengan sebanyak 104 hadiah disediakan kepada para pemenang. Suasana dewan dipenuhi dengan kegembiraan, gelak tawa dan semangat persaudaraan yang jelas terpancar dalam kalangan umat.
Sr M. Lucynia, selaku Penyelaras bagi Kerasulan Bahasa Malaysia, turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan ini. Ucapannya penuh dengan rasa syukur dan penghargaan kepada setiap individu yang memberikan sumbangan dan komitmen dalam memastikan perayaan ini berjaya.
Beliau menekankan pentingnya kerja berpasukan dan kerjasama yang erat antara semua pihak untuk memastikan perayaan ini bukan sahaja dirayakan dengan penuh kegembiraan, tetapi juga dalam semangat kekeluargaan yang utuh.
Menurutnya, perayaan Kaamatan dan Gawai serta kesyukuran bukan sekadar pesta budaya, tetapi juga merupakan ungkapan syukur kita atas berkat kehidupan, hasil tuaian, dan penyertaan Tuhan dalam perjalanan hidup kita setiap hari.
Melalui tradisi dan budaya, kita dapat melihat keindahan kepelbagaian yang menyatukan kita dalam kasih.
Lebih daripada sekadar sebuah perayaan kebudayaan, sambutan ini menjadi wadah yang berjaya menyatukan masyarakat Sabah, Sarawak serta Indonesia yang berada di Semenanjung Malaysia.
Perayaan ini membuktikan bahawa, walaupun berbeza budaya dan tradisi, semua umat tetap dapat hidup bersatu dalam kasih Kristus serta semangat Gereja yang satu.






































