Caritas Sabah perkukuh : pelayanan berasaskan KASIH

Oleh Herald Malaysia

RANAU — “Iman bukan sekadar diwartakan, tetapi perlu diwariskan kepada generasi akan datang.” Demikian penegasan Uskup Agung John Wong Soo Kau ketika mengajak setiap anggota Caritas menghayati semangat misionari dalam kehidupan seharian semasa Misa Kudus pembukaan Perhimpunan Kedua Caritas Sabah di Pusat Retret Bundu Tuhan, Ranau.

Pertemuan yang menghimpunkan lebih daripada 90 delegasi Caritas daripada Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Keningau dan Keuskupan Sandakan berlangsung pada Julai 10 hingga 12 lalu.

Program dimulakan dengan sesi suai kenal, diikuti sesi renungan peribadi yang dipimpin oleh Puan Patricia Bai, Pengarah Caritas Keuskupan Keningau merangkap Koordinator Pertemuan Caritas Sabah Kedua.

Pada sebelah petang, Misa Kudus pembukaan dipimpin oleh Uskup Agung John Wong Soo Kau bersama para konselebran: Fr Fabian Dicom, Fr Wilfred James dan Fr Ricki Boy Hasim.

Selepas Misa, sesi pembentukan bertajuk “Pembangunan Insan Bersepadu dalam Kebenaran dan Kasih” disampaikan oleh Fr Wilfred James, Penasihat Rohani Caritas Keuskupan Keningau. Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan insan perlu merangkumi aspek rohani, moral, sosial dan kemajuan teknologi, dengan kasih serta kebenaran Kristus sebagai asas pelayanan Caritas. Hari pertama diakhiri dengan sesi Perbualan dalam Roh.

Pada hari kedua, program diteruskan dengan perkongsian mengenai Ajaran Sosial Gereja oleh Sr Anita James FSIC, Pengarah Caritas Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

Sr Anita menegaskan bahawa pelayanan Caritas merupakan panggilan Gereja yang dihayati melalui pewartaan Sabda Tuhan, liturgi dan pelayanan kasih.

Seterusnya, Anna Teresa Peter Amandus, Pengarah Caritas Keuskupan Sandakan, menghuraikan konsep Pembangunan Insan Bersepadu berasaskan ensiklik Populorum Progressio, dengan menekankan bahawa pembangunan sejati memartabatkan manusia dan bukan sekadar mencapai kemajuan ekonomi.

Pada sebelah petang, Fr Fabian Dicom, Pengarah Caritas Malaysia, berkongsi pengalaman pelayanan Caritas serta mengingatkan bahawa Gereja dipanggil hadir bersama golongan miskin kerana melalui mereka, Gereja turut diperkaya dan menerima pewartaan Injil.

Pada sebelah malam, para peserta bersama umat paroki Bundu Tuhan mengadakan malam persaudaraan yang mengeratkan lagi semangat kebersamaan dalam pelayanan.

Hari ketiga memberikan peluang kepada setiap delegasi untuk membuat refleksi terhadap semua sesi pembentukan serta menilai situasi semasa pelayanan Caritas di keuskupan masing-masing.

Hasil perbincangan tersebut membawa kepada pengenalpastian tiga tindakan konkrit yang akan dilaksanakan oleh setiap keuskupan dalam tempoh tiga tahun akan datang sebagai komitmen bersama demi memperkukuh pelayanan Caritas.

Fr Ricki Boy, dalam rumusan program berharap agar segala ilmu, inspirasi dan pengalaman yang diperoleh sepanjang perhimpunan itu dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata melalui pelayanan Caritas di setiap paroki dan keuskupan.

Pertemuan Kedua Caritas Sabah diakhiri dengan Misa Kudus penutup yang dipimpin oleh Fr Wilfred James. Dalam homilinya, beliau mengingatkan bahawa pertemuan itu menandakan permulaan komitmen baharu untuk memperkukuh pelayanan Caritas berasaskan kasih, kebenaran dan misi Gereja.

Pada akhir perhimpunan, Keuskupan Sandakan diumumkan sebagai tuan rumah Perhimpunan Caritas Sabah kali ketiga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.