Oleh Herald Malaysia
JAKARTA — Utusan Khas Sri Paus Leo XIV, Kardinal Oswald Gracias dari India, menggesa para uskup Asia agar menjadi pembina jambatan dialog, rekonsiliasi dan persaudaraan dalam menghadapi perpecahan, konflik serta pelbagai luka sosial di rantau ini.
Dalam homilinya sempena Misa Kudus pembukaan Sidang Pleno Ke-12 Federasi para Uskup Asia (FABC) pada Julai 21, beliau menegaskan bahawa misi Gereja ialah mempertemukan manusia, menyelesaikan konflik dan membawa damai.
“Misi kita ialah menjadi pembina jambatan, menghubungkan manusia, mendamaikan keadaan yang berpecah dan membawa keamanan kepada dunia,” kata-nya.
Sidang yang berlangsung selama seminggu itu menghimpunkan lebih 100 kardinal, uskup, imam, religius dan delegasi dari seluruh Asia dengan tema “Panggilan kepada Pertobatan Sinodal dan Misi Menjadi Jambatan serta Pembina Jambatan di Asia”.
Kardinal Gracias menyifatkan sinodaliti sebagai salah satu anugerah terbesar Gereja kepada dunia kerana menggalakkan budaya mendengar, penyertaan, membuat penegasan bersama dan berjalan seiring di tengah-tengah polarisasi. Beliau berkata dunia hari ini semakin dicengkam konflik, keganasan dan pepe-rangan dan justeru itu, Gereja dipanggil memupuk keharmonian antara agama serta membina budaya damai di paroki, keuskupan dan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa semangat berjalan bersama telah lama menjadi sebahagian daripada budaya Asia melalui kehidupan kekeluargaan, nilai komuniti dan sikap saling menghormati. Menurutnya, sinodaliti juga mampu membantu membanteras rasuah serta memperkukuh tadbir urus yang baik.
Sementara itu, Pengerusi Persidangan Uskup-Uskup Indonesia, Uskup Antonius Subianto Bunjamin, berkata sidang tersebut bukan sekadar pertemuan para uskup, tetapi saat untuk mendengarkan Roh Kudus serta suara wanita, golongan miskin, masyarakat terpinggir, migran dan pelarian.
Menurut beliau, proses sinodal menuntut Gereja membuka hati bukan sahaja kepada suara para gembala, malah kepada pengalaman dan harapan seluruh umat Tuhan, khususnya wanita, golongan miskin, masyarakat yang terpinggir, para migran dan pelarian yang sering berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan.
Prelatus itu berkata, hanya dengan mendengarkan suara mereka, Gereja dapat melaksanakan misinya dengan lebih setia serta menjadi tanda harapan, dialog dan rekonsiliasi di Asia.
Beliau menegaskan bahawa Gereja di Asia dipanggil memperdalam pertobatan sinodal melalui dialog, kerjasama dan misi bersama demi membina keamanan serta rekonsiliasi di seluruh benua.
Liturgi pembukaan menampilkan kepelbagaian budaya Asia melalui persembahan tradisional Indonesia, doa dalam pelbagai bahasa tempatan dan penyertaan komuniti dari pelbagai etnik. Sidang itu turut dihadiri wakil Gereja dari Vatikan, Afrika, Eropah, Timur Tengah, Oceania dan Amerika Syarikat yang sependapat bahawa sinodaliti menawarkan jalan menuju perdamaian dalam dunia yang semakin berpecah.








































