Oleh Umat St Ann
KOTA PADAWAN — Gereja St Ann, Kota Padawan, sekali lagi menyambut Pesta Santa Anna 2026 dalam suasana penuh sukacita, kemesraan dan iman.
Dengan tema ’Mewariskan Iman, Membina Generasi Beriman’, sambutan tahun ini menjadi wadah bagi seluruh umat di bawah KGK/KGT dan semua ministri untuk berkumpul sebagai satu keluarga dalam iman, di samping memperkukuh semangat persaudaraan, kerjasama dan kebersamaan dalam komuniti Gereja.
Sambutan dimulakan dengan Novena selama sembilan hari yang berlangsung dari 17 hingga 24 Julai 2026. Setiap petang, umat berkumpul bersama untuk berdoa dan mengikuti perayaan Ekaristi.
Beberapa perayaan Misa turut diadakan dalam bahasa Iban, Biatah dan Bahasa Malaysia, sebagai tanda keterangkuman serta meraikan kepelbagaian komuniti umat yang membentuk keluarga besar Gereja St Ann.
Kemuncak persiapan rohani melalui Triduum Santa Anna diserikan dengan perarakan patung Santa Anna selepas perayaan Misa dalam bahasa Iban.
Perarakan tersebut menjadi satu ungkapan iman dan penghormatan kepada Santa Anna, sambil mengingatkan setiap keluarga Kristian akan pentingnya peranan ibu bapa dalam mewariskan kepercayaan kepada generasi seterusnya.
Suasana perarakan menjadi semakin meriah apabila setiap KGK/KGT dan ministri turut mengambil bahagian dengan membawa sepanduk masing-masing. Penyertaan bersama ini memperlihatkan kesatuan seluruh komuniti Gereja dalam menghayati iman serta semangat kekeluargaan sebagai satu tubuh Kristus.
Salah satu pengisian rohani yang memberi kesan mendalam kepada umat ialah Misa dalam bahasa Biatah yang membawa tema ’Penyembuhan Orang Sakit’.
Dalam homilinya, Rektor Gereja St Ann, Friar Don Don Romero Ramerez, OFM, mengingatkan umat agar sentiasa menyerahkan segala sesuatu ke dalam tangan Tuhan serta terus percaya kepada kuasa dan kasih Tuhan dalam menghadapi setiap kesulitan dan penderitaan.
Beliau turut menyeru umat agar tidak mencari jalan penyelesaian melalui kuasa kegelapan, sebaliknya sentiasa berpegang teguh kepada iman dan mengharapkan kesembuhan daripada Tuhan.
Dalam konteks kehidupan berkeluarga, umat juga diingatkan untuk setia kepada janji perkahwinan dan tidak mudah tergoda dengan hak milik atau pasangan orang lain.
Umat turut dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan hasutan untuk menggunakan kuasa kegelapan sebagai jalan mendapatkan kesembuhan atau menyelesaikan masalah.
Pesanan tersebut menjadi satu peringatan yang mendalam agar umat sentiasa kembali kepada Tuhan dalam setiap keadaan, memelihara kesetiaan dalam kehidupan berkeluarga serta menjadikan iman sebagai asas dalam menghadapi setiap cabaran kehidupan.
Pengisian rohani seterusnya diteruskan melalui Misa dalam Bahasa Malaysia yang membawa tema ’Menjadi Saksi Kristus melalui Keluarga Beriman’, berdasarkan Kisah Para Rasul 1:8.
Perayaan ini mengajak umat bukan sahaja menghayati iman secara peribadi, tetapi turut menjadi saksi Kristus melalui kehidupan keluarga, komuniti dan pelayanan masing-masing.
Dalam suasana yang sama, sambutan Pesta Santa Anna turut dimeriahkan dengan majlis pembukaan rasmi gerai yang dilaksanakan bersama oleh Friar Don Don, Friar Joseph Lee, OFM dan Friar Nelson Evarinus, OFM, bersama-sama Ahli Jawatankuasa (AJK) SAFD.
Acara pembukaan berlangsung dengan penuh meriah, diserikan dengan pertunjukan bunga api, aktiviti nyanyian dan jualan mesra. Kehadiran AJK SAFD, kakitangan St Ann, katekis, umat serta para pengunjung menyerlahkan semangat kebersamaan dan kerjasama seluruh komuniti dalam menjayakan sambutan Pesta Santa Anna 2026.
Kemuncak sambutan diteruskan dengan Misa Pesta Santa Anna pada jam 8:00 pagi, yang turut merangkumi pembaharuan ikrar 110 orang Pelayan Komuniti Bukan Lazim.
Perayaan kemudiannya diserikan dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan dan komuniti seperti jualan gerai, persembahan antara zon, Big Family Discovery, Little Artist, Fusion Serenade, Master Zone Cook-Off, Zone Rally Telematch, Misa Senja serta Pentas Talent Mania.
Turut mencuri perhatian ialah persembahan ‘Gendang 24 Musim’ oleh murid-murid SMK Wira Penrissen, yang menambahkan lagi kemeriahan suasana Pesta Santa Anna.
Persembahan tersebut bukan sahaja menghiburkan para pengunjung, malah turut memperlihatkan pelibatan generasi muda dalam memeriahkan perayaan serta mengeratkan hubungan antara komuniti Gereja dan masyarakat setempat.
Pelbagai aktiviti ini bukan sekadar menceriakan suasana pesta, tetapi turut membuka ruang kepada umat daripada pelbagai zon, KGK/KGT dan ministri untuk berinteraksi, bekerjasama serta mengeratkan hubungan sebagai satu keluarga besar Gereja St Ann.
Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh umat mencerminkan bahawa iman bukan hanya dirayakan dalam liturgi, tetapi turut dihidupkan melalui persaudaraan, pelayanan dan kebersamaan.
Kemeriahan Pesta Santa Anna 2026 turut menarik kehadiran para penziarah dari Sabah, Brunei dan pelbagai tempat lain untuk bersama-sama merayakan pesta ini.
Kehadiran penziarah dari luar kawasan memperlihatkan bahawa Pesta Santa Anna bukan sahaja menjadi perayaan bagi komuniti setempat, malah turut menjadi satu perayaan iman yang menyatukan umat dari pelbagai tempat dalam semangat persaudaraan dan kekeluargaan.
Keseluruhan sambutan Pesta Santa Anna 2026 bukan sekadar sebuah perayaan tahunan, tetapi menjadi ruang untuk umat berdoa bersama, merayakan iman, membina persaudaraan, dan memperkukuhkan hubungan kekeluargaan.
Semoga semangat Pesta Santa Anna tahun ini terus menyemarakkan panggilan seluruh umat untuk mewariskan iman dan membina generasi yang beriman, agar keluarga dan komuniti Gereja terus menjadi tempat di mana iman dihidupkan, dikongsi dan diteruskan dari satu generasi kepada generasi yang seterusnya.
Santa Anna, doakanlah kami sekeluarga!








































