
Oleh Peter Tan Boon Leong
SIMANGGANG — Paroki Our Lady Queen of Peace Simanggang telah memulakan sambutan Bulan Al-Kitab 2026 dengan penuh semangat dan kesyukuran melalui Majlis Pelancaran dan Pembukaan Bulan Al-Kitab yang telah disempurnakan oleh Fr Ramon Borja semasa Misa Hari Minggu pada 5 Julai, 2026, jam 8:00 pagi.
Majlis pembukaan ini menjadi satu detik istimewa bagi seluruh umat paroki bagi menghayati kepentingan Sabda Tuhan dalam kehidupan harian.
Pelbagai pengisian simbolik telah diadakan bagi menandakan bermulanya Bulan Al-Kitab, antaranya perarakan masuk murid-murid Kelas Adat (Sunday School) yang membawa suasana meriah dan penuh makna. Kanak-kanak ini melambangkan generasi muda yang dipanggil untuk mengenal, mencintai dan menghidupi Sabda Tuhan sejak usia awal.
Majlis diteruskan dengan pemotongan banner ‘Roll-Up Fishtail’ Bulan Al-Kitab 2026 sebagai simbol rasmi pelancaran sambutan pada peringkat paroki.
Seterusnya, Fr Ramon memimpin upacara pemberkatan Al-Kitab, di mana umat yang hadir membawa Al-Kitab masing-masing untuk diberkati, sebagai tanda penghormatan dan komitmen untuk membaca serta merenungkan Firman Tuhan.
Dalam semangat Bulan Al-Kitab pada tahun ini, umat digalakkan untuk menjadikan pembacaan dan renungan Sabda Tuhan sebagai amalan harian dalam keluarga dan komuniti.
Tema dan aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan ini bertujuan memperkukuh iman serta membentuk budaya hidup yang berteraskan ajaran Kristus.
Salah satu aktiviti yang mendapat sambutan baik daripada murid-murid Sekolah Minggu ialah program ‘Jom Buka Al-Kitab!’ yang diadakan pada 26 Julai 2026.
Melalui aktiviti ini, para murid dikehendaki mencari, membaca dan menandakan beberapa petikan Kitab Suci menggunakan penyerlah berwarna hijau. Antara ayat yang dipilih ialah:
1 Korintus 13:4-7 – mengenai kasih yang sabar, murah hati dan tidak mementingkan diri sendiri.
1 Yohanes 4:19 – mengingatkan bahawa kita mengasihi kerana Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita.
Yohanes 15:12 – perintah Yesus supaya kita saling mengasihi seperti Dia telah mengasihi kita.
Aktiviti ini bukan sahaja membantu murid mengenali kitab dan ayat Al-Kitab dengan lebih baik, malah menggalakkan mereka membaca serta memahami mesej kasih yang terkandung dalam Sabda Tuhan.
Para guru turut memberi galakan agar semua murid menyertai latihan yang diberikan dan menjadikan pembacaan Al-Kitab sebagai kebiasaan yang berterusan.
Setelah sebulan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti kerohanian, renungan dan penghayatan Sabda Tuhan, Majlis Penutupan Bulan Al-Kitab 2026 telah disempurnakan oleh Fr Henry Jimbey.
Penutupan ini menjadi kesempatan bagi seluruh umat untuk bersyukur atas penyertaan aktif komuniti paroki sepanjang sambutan Bulan Al-Kitab.
Semoga Bulan Al-Kitab 2026 terus menjadi sumber inspirasi kepada seluruh umat Katolik di Paroki Our Lady Queen of Peace Sri Aman untuk semakin mencintai Sabda Tuhan, memperkukuh iman serta menghidupkan nilai-nilai Injil dalam keluarga, komuniti dan kehidupan seharian.
“Firman-Mu itu pelita bagi kakiku dan terang bagi jalanku.” (Mazmur 119:105)










































