
Oleh Peter Tan Boon Leong
SIMANGGANG — Gereja Our Lady Queen of Peace Simanggang telah menjadi tempat berlangsungnya Kursus Pembaharuan dan Rekoleksi 2026 bagi para Pelayan Luarbiasa Komuni Kudus (Extraordinary Ministers of Holy Communion) dan Sakristan di Chapel Rosa Mystica.
Program itu, yang berlangsung pada 18 Julai, 2026, dari jam 1:00 petang hingga 4:00 petang dengan tema ‘Aku Siap’ (Ibrani 10:7), mengajak para pelayan altar untuk sentiasa bersedia menyahut kehendak dan panggilan Tuhan dalam kehidupan serta pelayanan mereka.
Kursus dan rekoleksi ini telah disampaikan oleh Fr Henry Jimbey, yang memberikan pengisian rohani, bimbingan pastoral serta renungan mendalam mengenai peranan dan tanggungjawab para pelayan Gereja.
Melalui sesi perkongsian yang penuh inspirasi, para peserta diajak untuk memperbaharui komitmen pelayanan mereka dengan keimanan, kerendahan hati dan kesetiaan kepada Kristus.
Tema ‘Aku Siap’, yang diambil daripada Ibrani 10:7, menjadi inti utama rekoleksi ini. Firman Tuhan mengingatkan bahawa setiap pelayan dipanggil untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada kehendak Tuhan, sebagaimana Kristus sendiri taat melaksanakan misi yang diamanahkan oleh Bapa.
Semangat kesiapsiagaan ini amat penting khususnya bagi para Pelayan Luarbiasa Komuni Kudus dan Sakristan yang melayani umat dalam liturgi serta kehidupan Gereja.
Selain memperkukuh pemahaman tentang tugas dan pelayanan, program ini juga memberi ruang kepada peserta untuk merenung serta menghayati, berdoa dan memperdalam hubungan peribadi dengan Tuhan.
Dalam suasana penuh persaudaraan dan kesatuan, peserta berpeluang berkongsi pengalaman serta saling menguatkan dalam perjalanan iman masing-masing.
Kursus pembaharuan dan rekoleksi ini diharapkan menjadi sumber kekuatan rohani yang baharu kepada semua peserta agar mereka terus melayan dengan penuh dedikasi, kasih dan sukacita.
Semoga semangat ‘Aku Siap’ sentiasa hidup dalam hati setiap pelayan, sehingga mereka dapat menjadi saksi Kristus yang setia dan berkesan dalam komuniti Gereja.
“Lalu Aku berkata: Lihatlah, Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah.”
(Ibrani 10:7)










































