Oleh Ezel Edwin
LUNDU — Seramai 207 orang pelayan altar dan penyelia dari seluruh gereja dalam Paroki Holy Spirit Lundu telah mengambil bahagian dalam Seminar Pelayan Altar Peringkat Paroki yang berlangsung di Gereja Holy Spirit Lundu.
Seminar sehari ini dianjurkan oleh Holy Spirit Parish Altar Servers Ministry dengan tujuan memperkukuhkan pembentukan rohani, disiplin, pengetahuan liturgi serta semangat pelayanan dalam kalangan para pelayan altar.
Program bermula seawal jam 8:00 pagi dengan sesi pendaftaran, diikuti doa pembukaan dan nyanyian yang dipimpin oleh Youth of Holy Spirit (YOHS).
Suasana penuh sukacita dan semangat persaudaraan jelas terpancar apabila para peserta daripada pelbagai gereja dalam paroki berhimpun sebagai satu keluarga besar yang berkongsi panggilan sama untuk melayan di altar Tuhan.
Sesi pertama bertajuk ‘Identiti dan Peranan Pelayan Altar’ memberi penekanan bahawa pelayanan di altar bukan sekadar menjalankan tugas semasa Misa Kudus, tetapi merupakan satu panggilan istimewa bagi melayani Kristus dan umat-Nya dengan hati yang tulus, penuh hormat dan berdisiplin.
Peserta turut diingatkan bahawa setiap gerak-geri dan sikap seorang pelayan altar harus mencerminkan iman, kerendahan hati serta kasih kepada Tuhan.
Seminar diteruskan dengan pengenalan tentang liturgi yang disampaikan oleh Mathilda Chung dan Irene Septimus Amit.
Dalam sesi ini, peserta didedahkan kepada penyediaan peralatan liturgi, penjagaan sakristi, penggunaan kelengkapan Misa serta kepentingan untuk memastikan setiap perayaan liturgi berlangsung dengan teratur dan penuh penghormatan.
Perkongsian pengalaman mereka memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang pelayanan di sebalik tabir yang sering tidak disedari tetapi amat penting dalam kehidupan liturgi Gereja.
Selepas waktu rehat, seminar diteruskan dengan sesi ‘Etika dan Tatacara Pelayan Altar’ yang memberi penekanan kepada disiplin, adab, cara berpakaian, pergerakan liturgi, serta sikap hormat ketika berada di dalam gereja.
Peserta turut diberi peluang mengemukakan pelbagai soalan dalam Sesi Soal Jawab, sekali gus membantu mereka memahami dengan lebih jelas tentang liturgi dan cabaran yang dihadapi dalam pelayanan harian.
Kemuncak seminar ialah Perayaan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Casimir Henry.
Dalam homilinya, beliau mengajak para pelayan altar untuk terus setia kepada panggilan mereka sebagai pelayan Tuhan, sentiasa mengutamakan doa, hidup dalam kekudusan dan melaksanakan setiap pelayanan dengan penuh kasih serta keikhlasan.
Beliau turut mengingatkan bahawa pelayan altar bukan sahaja melayan di hadapan altar, tetapi juga dipanggil menjadi saksi Kristus melalui kehidupan harian mereka.
Seminar ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan liturgi para peserta, malah berjaya memupuk semangat persaudaraan, kerjasama dan kesatuan dalam kalangan pelayan altar di seluruh Paroki Holy Spirit Lundu.
Kehadiran yang memberangsangkan menunjukkan komitmen tinggi para pelayan altar, penyelia dan ibu bapa dalam membentuk generasi muda yang setia melayani Gereja.
Segala ilmu, pengalaman dan inspirasi yang diperoleh sepanjang seminar ini diharapkan menjadi bekalan berharga bagi setiap peserta untuk terus bertumbuh dalam iman dan pelayanan.
Berpandukan tema yang dihayati sepanjang program, para pelayan altar diingatkan bahawa mereka “Dipanggil untuk Melayani, bukan untuk Dilayani” (Markus 10:45).
Mereka diharap akan terus menjadi teladan kepada rakan sebaya serta melayani altar Tuhan dengan hati yang rendah, penuh sukacita dan setia demi kemuliaan Allah serta pertumbuhan Gereja.










































