Zon Simpok Berhimpun Untuk Menyambut Hari Keluarga yang Penuh Bermakna

Oleh Umat Paroki St Ann

KOTA PADAWAN — Sambutan Hari Keluarga Zon Simpok & Pesta St Ann telah berlangsung dengan jayanya pada Ahad, 28 Jun lalu di Dewan Serbaguna Kampung Simpok. 

Program dimulakan dengan Misa Kudus sempena Hari Raya Santo Petrus dan Santo Paulus yang dipimpin oleh Friar Don Don Romero Ramerez, OFM, selaku Rektor Paroki St Ann, Kota Padawan. 

Dewan dipenuhi umat dari Zon Simpok, yang mencerminkan semangat perpaduan dan iman yang kukuh dalam kalangan komuniti paroki.

Dalam homili beliau, Friar Don Don mengingatkan umat bahawa setiap orang Katolik dipanggil untuk meneladani kehidupan Santo Petrus dan Santo Paulus, yang setia melayani Tuhan dengan penuh kepercayaan walaupun berdepan pelbagai cabaran. 

Beliau menggalakkan semua agar terus teguh dalam iman serta bersama-sama menyokong misi pembinaan Gereja St Peter dan yang baharu. Walaupun projek tersebut memerlukan perbelanjaan yang besar, beliau menegaskan bahawa setiap sumbangan, tanpa mengira jumlahnya, amat bermakna. 

Dengan sokongan berterusan, kemurahan hati umat serta berkat Tuhan, impian membina Gereja St Peter dan Paul Kampung Simpok pasti dapat direalisasikan.

Selepas Misa Kudus, majlis diteruskan dengan acara perasmian Hari Keluarga Zon 2026. Sambutan kali ini menjadi lebih istimewa apabila komuniti paroki turut meraikan ulang tahun kelahiran ke-50 Friar Don Don. 

Majlis diserikan dengan ucapan alu-aluan, upacara memotong kek serta gimik pelancaran Hari Keluarga Zon, sekali gus mewujudkan suasana yang meriah dan penuh kegembiraan.

Selesai majlis perasmian, para hadirin menikmati pesta makanan yang menampilkan pelbagai gerai dengan aneka juadah tempatan dan masakan tradisional. 

Suasana penuh kemesraan jelas terasa apabila keluarga dan para sukarelawan berganding bahu menyediakan serta menjual makanan, manakala para pengunjung menikmati kemeriahan sepanjang acara.

Program diteruskan dengan acara simbolik penutupan sambutan Gawai menerusi acara ‘Gulung Tikar’, yang disempurnakan oleh Friar Don Don; Vincent Tambang, Ketua Kampung Simpok; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin; bersama Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (PPC), Jude Ligon. 

Acara yang penuh bermakna ini menandakan berakhirnya musim perayaan Gawai di samping memperlihatkan penghargaan pihak paroki terhadap warisan budaya tempatan.

Pada sebelah petang, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, termasuk sukaneka, permainan keluarga, persembahan pentas, cabutan bertuah serta hiburan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada umat pelbagai peringkat umur. 

Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah memperkukuhkan semangat persahabatan dan perpaduan dalam komuniti paroki.

Antara acara yang paling dinanti-nantikan ialah cabutan tiket bertuah untuk mengumpul dana bagi pembinaan Gereja St Peter dan Paul, Kampung Simpok, yang baharu. 

Kemuncak acara menyaksikan cabutan hadiah utama, iaitu sebuah Perodua Alza, yang menambahkan lagi keterujaan para peserta. 

Hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan telah menggalakkan ramai umat membeli tiket cabutan bertuah sekali gus memberikan sumbangan yang besar kepada dana pembinaan gereja.

Majlis diakhiri dengan persembahan khas ‘Suara Emas’ oleh Friar Nelson, yang menghiburkan hadirin dengan nyanyian yang menceriakan suasana. 

Program berakhir sekitar jam 4:00 petang dengan sesi tarian dan ramah mesra, sekali gus menutup sambutan Hari Keluarga dengan penuh kegembiraan dan kenangan yang indah.

Secara keseluruhannya, Sambutan Hari Keluarga Zon & Pesta St Ann 2026 telah mencapai matlamatnya dengan cemerlang. Ia berjaya memperkukuhkan ikatan iman, persahabatan dan perpaduan dalam kalangan umat paroki, di samping meningkatkan kesedaran serta sokongan terhadap pembinaan Gereja St. Peter yang baharu. 

Sambutan ini mencerminkan semangat perpaduan, kemurahan hati dan kesyukuran, sekali gus meninggalkan kenangan manis serta harapan baharu bagi masa depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.