Zon Sale Taman 2025: “Zon Taman, BOLEH, BOLEH, BOLEH!”

Pasukan tarian singa dari SMK Sungai Tapang bersama Friar Don Don (barisan depan, dua kanan). (Gambar: Jackson Embuas)

Oleh Umat St Ann

KOTA PADAWAN — Kegembiraan dan kesatuan begitu terasa di Gereja St Ann di sini apabila Zon Sale Taman kembali lagi tahun ini dengan penyertaan penuh meriah daripada sembilan taman, tiga ministri (pelayanan) dan pelbagai persembahan menarik yang mengukuhkan semangat komuniti paroki.

Acara yang berlangsung pada Ahad itu disertai oleh umat dari Taman Landeh, RPR Landeh, Taman Bandar Baru Siburan, Taman Greenwood, Taman RPR Batu 12, Taman Duranda, Taman Perwira Cahaya, Taman Penrissen 2, dan Taman Sri Muhibbah bersama sokongan komuniti Cina, Apostolate Iban, dan pelayan altar.

Suasana ceria semakin memuncak apabila koordinator zon, Jackson Embuas, meniupkan semangat dengan slogan khas: “Zon Taman, BOLEH, BOLEH, BOLEH!” 

Seruan itu disambut gemuruh oleh hadirin yang berbalas sorakan sambil menikmati pelbagai juadah yang dijual di gerai-gerai.

Acara rasmi dimulakan dengan paluan gong sebanyak tujuh kali oleh Rektor Gereja St Ann, Friar Don Don Romero Ramerez, OFM, sebagai tanda perasmian. 

Detik ini disusuli dengan persembahan tarian singa berwarna-warni oleh pelajar-pelajar dari SMK Sungai Tapang, yang menambahkan lagi kemeriahan suasana.

Setiap taman turut menyumbangkan persembahan nyanyian, dengan menampilkan bakat umat yang penuh bersemangat dan kebersamaan. 

Sebelum persembahan ’Tabelo Dance’ oleh Ladies Guild dari Taman Bandar Baru Siburan, umat terlebih dahulu disegarkan dengan Kuiz Rohani yang penuh semangat dan disambut dengan jawapan kreatif serta tawa gembira.

Keceriaan diteruskan dengan acara Lucky Draw yang dinanti-nantikan, disusuli persembahan istimewa Golden Voice oleh Friar Don Don. 

Tidak ketinggalan, Friar Nelson Evarinus Sipalan, OFM turut menyumbangkan suara dalam persembahan nyanyian, untuk menceriakan lagi suasana.

Lebih daripada sekadar jualan, Zon Sale Taman tahun ini menjadi wadah penyatuan umat, yang mengeratkan persahabatan serta mengukuhkan semangat pelayanan dalam komuniti. 

Semuanya berlangsung dalam suasana penuh sukacita, semangat kekeluargaan, dan kesyukuran kepada Tuhan.

Zon Sale Taman ini berakhir sekitar jam 3:00 petang, dan peserta bersurai dengan penuh sukacita.

Benarlah, dengan semangat yang dikobarkan bersama, “Zon Taman, BOLEH, BOLEH, BOLEH!”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.