Ziarah Jalan Salib kukuhkan iman umat

Peserta Program Kelas Adat bergambar kenangan selepas mengadakan Ziarah Jalan Salib sempena Hari Jumaat Agung. Turut bersama dalam gambar ialah Fr Henry Jimbey (barisan depan, tengah) . Program ini bertujuan untuk menghayati sengsara dan kematian Tuhan Yesus Kristus serta memperdalam iman umat melalui refleksi setiap stesen salib.

Oleh Jennifer Chong Nyuk Hiong

SRI AMAN — Ziarah Jalan Salib sempena Hari Jumaat Agung telah dijalankan dengan penuh khusyuk dan penghayatan iman pada 3 April lalu di Gereja Katolik Mt Hosanna, Sri Aman.

Program ini dianjurkan oleh Kelas Adat, Gereja Our Lady Queen of Peace dengan bimbingan Father Henry Jimbey,dan merupakan salah satu program tahunan bertujuan untuk memperkukuh iman serta mengingati kesengsaraan dan kewafatan Yesus Kristus.

Memikul salib, melangkah bersama – tanda kasih, pengorbanan dan pengharapan yang hidup. Setiap langkah menjadi doa, setiap beban ditanggung dengan iman, mengingatkan kita akan erti kesetiaan dan penyerahan diri dalam perjalanan rohani ini.

Acara bermula pada jam 9:00 pagi dengan doa pembukaan sebelum umat memulakan perjalanan Ziarah Jalan Salib. Sepanjang ziarah tersebut, peserta berhenti di setiap daripada 14 Perhentian yang menggambarkan perjalanan sengsara Yesus menuju penyaliban.

Setiap perhentian diisi dengan bacaan Al-Kitab Suci, doa dan renungan yang dipimpin oleh ahli Kelas Adat serta petugas gereja. Suasana sepanjang program berlangsung dalam keadaan tenang dan penuh keinsafan, selaras dengan semangat Hari Jumaat Agung.

Kehadiran umat amat menggalakkan, dengan anggaran sekitar 300 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, termasuk kanak-kanak, belia dan golongan dewasa.

Umat yang hadir bukan sahaja terdiri daripada kalangan anggota Paroki Gereja Katolik Sri Aman, malah turut disertai umat dari luar paroki.
Penyertaan yang memberangsangkan ini jelas mencerminkan semangat kesatuan, perpaduan iman serta komitmen yang utuh dalam menghayati dan mengamalkan kehidupan beragama.

Lebih dari pada itu, penyertaan yang meluas turut menggambarkan keinginan umat untuk memperkukuhkan hubungan persaudaraan, sekaligus menyemarakkan lagi nilai kebersamaan dalam komuniti gereja.

Tujuan utama program tahunan Kelas Adat bagi Paroki Gereja Our Lady Queen of Peace ini adalah untuk memberi peluang kepada umat mendalami penghayatan iman melalui doa dan renungan bersama.

Selain itu, program ini juga bertujuan menggalakkan penyertaan aktif umat dalam aktiviti gereja serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti Katolik setempat.

Pada keseluruhannya, Ziarah Jalan Salib ini telah berjalan dengan lancar, dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.

Program sebegini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang agar umat terus diberi peluang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan serta menghayati makna sebenar pengorbanan Yesus Kristus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.