Oleh Deacon Addie Frank
BAU —Program ‘Hari Pelayan Altar Keuskupan Agung Kuching’ merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Ministri Pelayan Altar Keuskupan Agung Kuching.
Objektif utama program ini adalah untuk memupuk semangat melayani dalam kalangan para pelayan altar.
Program ini, yang berlangsung daripada 27 Mei hingga 28 Mei 2026 di REDEEMS Centre Kampung Apar Singai Bau, telah menghimpunkan sekitar 700 orang pelayan altar, termasuk ahli-ahli jawatankuasa dan sukarelawan yang membantu.
Pelbagai aktiviti dan pengisian rohani telah dijalankan.
Pendaftaran peserta dibuka seawal jam 11:00 pagi pada hari pertama, seterusnya dimulakan dengan sesi pengenalan dan penerangan oleh Father Robert Jissem yang merupakan pengerusi program tersebut.
Pembukaan simbolik program turut dirasmikan oleh Father Robert. Ia kemudian diteruskan dengan Misa Pembukaan yang dirayakan oleh Yang Mulia Uskup Agung Simon Poh, bersama para paderi dengan bantuan diakon, dan turut dihadiri oleh Datuk Henry Harry Jinep, Datuk Peter Nansian Ngusie, dan wakil pengerusi gereja kampung di bawah naungan Paroki St Stephen Bau.
Sejurus selepas Misa, Fr Robert memberi cenderahati kepada para tetamu jemputan khas. Datuk Henry Harry Jinep, yang merupakan Timbalan Menteri Pengangkutan Laut dan Sungai Sarawak, berkongsi pengalaman beliau semasa melayani dan memberi kata-kata semangat kepada para peserta.
Pengagihan tempat bermalam para peserta
Memandangkan program pada kali ini memerlukan para peserta bermalam, pihak penganjur telah menyediakan dua tempat penginapan bagi mereka, pertama di Bidayuh Cultural Village (BCV) yang terletak berdekatan dengan REDEEMS Centre Singai Bau, dan kedua di Borneo Tribal Village (BTV) yang terletak berdekatan dengan Kampung Apar.
Bagi mempermudahkan pergerakan mereka dari BTV ke Pusat REDEEMS, beberapa buah bas turut disediakan.
Adorasi dan saat teduh
Selepas peserta berehat dan mandi di tempat penginapan masing- masing, mereka menikmati makan malam di Dewan REDEEMS Centre Singai Bau.
Selepas itu, program diteruskan dengan sesi puji dan sembah, dan kemudian peserta dipimpin oleh Diakon Addie Frank dalam suasana doa dan penghayatan rohani melalui adorasi
Aktiviti -aktiviti pada hari kedua
Pada hari kedua, program dimulakan dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Robert bersama dua orang paderi dan dibantu oleh diakon.
Sebelum Misa berakhir, Sister Rowena Patrick daripada perkumpulan Sister of St Francis of Sarawak dan YB Tuan Mordi Bimol, yang merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, turut berkongsi pengalaman mereka semasa melayani dan memberi kata-kata semangat kepada para peserta.
Sejurus selepas Misa, Fr Robert turut memberi cenderahati kepada tetamu jemputan khas. Jamuan makan pagi juga disediakan kepada peserta dan tetamu jemputan.
Program pada hari kedua, diteruskan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Fr Vincent Chin tentang tanggungjawab dan peranan pelayan altar dalam Misa Kudus.
Selepas habis sesi taklimat tersebut, program diteruskan dengan “Altar Servers Got Talent” di mana wakil dari setiap paroki telah mengetengahkan bakat masing-masing seperti menari, menyanyi dan berlakon.
Pertandingan tersebut dinilai oleh beberapa juri jemputan. Hasil daripada penilaian tersebut, pemenang tempat pertama pada tahun ini adalah dari Paroki St Stephen Bau, tempat kedua adalah dari Paroki St Teresa Serian, manakala tempat ketiga pula dari Paroki Sacred Heart, Kota Sentosa. Hadiah dan sijil penyertaaan turut disampaikan kepada para peserta.
Akhir sekali, program ‘Kuching Archdiocesan Altar Servers’ Day 2026’ ditutup secara rasminya oleh Fr Robert Jissem, diikuti dengan sesi bergambar bersama para peserta sebagai kenangan.








































