Misa Kudus dan Perarakan Ekaristi Sempena Ulang Tahun Ke-50 Keuskupan Agung Kuching

Para paderi, golongan religius dan seminarian mengekori Sakramen Maha Kudus yang dibawa di dalam monstrans sepanjang perarakan sejauh 3.8 km melalui jalan-jalan di Kuching. (Foto: SJC Media)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Sebagai sebahagian daripada sambutan Ulang Tahun Ke-50 Keuskupan Agung Kuching, kira-kira 1,000 umat berkumpul di Katedral St Joseph pada 18 Oktober untuk menyertai Misa Kudus, yang disusuli dengan perarakan Ekaristi sebagai tanda kesaksian terhadap “iman Katolik yang diterjemahkan melalui tindakan”.

Dalam Misa Kudus tersebut, Uskup Agung Simon Poh yang memimpin perayaan Ekaristi mengucapkan syukur kepada Tuhan atas penubuhan Keuskupan Agung Kuching pada 31 Mei 1976. 

Beliau turut memberikan penghormatan kepada para Mubaligh Mill Hill yang tiba di Kuching pada 10 Julai 1881 dan meletakkan asas bagi perkembangan Gereja Katolik di Sarawak.

Uskup Agung Emeritus Peter Chung menjadi Uskup Agung pertama Keuskupan Agung Kuching pada 1976 sebelum bersara pada 2003. 

Beliau kemudian digantikan oleh Uskup Agung Emeritus John Ha yang berkhidmat hingga 2017. Uskup Agung Simon Poh merupakan Uskup Agung Kuching yang ketiga.

Misa Kudus dipimpin oleh Uskup Agung Simon Poh (dua kanan) dan dirayakan bersama oleh semua paderi yang hadir.

Hari Minggu Misi Sedunia Ke-100
Uskup Agung Simon berkata visi Keuskupan Agung Kuching ialah, “Kita ialah Gereja, Murid-murid Sabda dalam Persekutuan untuk Misi” dan Misa Kudus tersebut berlangsung serentak dengan sambutan Hari Minggu Misi Sedunia Ke-100.

Dengan kehadiran para paderi, umat paroki dan pemimpin Gereja, beliau mengingatkan bahawa, “Kita semua dipanggil untuk menjadi satu komuniti. Kita ialah Gereja Keuskupan Agung Kuching yang bersyukur kepada Tuhan atas Jubli Emas Ke-50 ini. Setiap daripada kita dipanggil untuk menjalankan misi … dipanggil untuk menjadi murid-murid Yesus.”

Perarakan Ekaristi
Setelah menerima Roh Kudus, Tuhan menghendaki kita untuk “menunjukkan iman melalui perbuatan”. Dengan berjalan di jalan-jalan sekitar Kuching sambil membawa Sakramen Maha Kudus, kita menjadi “satu Tubuh Kristus dalam persekutuan”. Kita juga “memberikan kesaksian tentang iman kita terhadap kehadiran nyata” Tuhan dalam Sakramen Maha Kudus.

Uskup Agung Simon turut menjelaskan kepada umat bahawa perarakan tersebut bertujuan untuk “memohon berkat bagi diri kita, memberikan kesaksian tentang Yesus dan memberkati kota kita”.

Kita dapat “menjadi saksi kepada berkat dan belas kasihan Tuhan kepada orang di sekeliling kita. Hari ini, kita membawa berkat ini kepada semua orang”.

Selepas Misa Kudus, kontinjen daripada 12 buah paroki di bawah Keuskupan Agung Kuching, bersama para seminarian dari Kolej Seminari St Peter, para paderi, golongan religius serta umat Katolik, berangkat dari katedral secara teratur untuk menyertai perarakan Ekaristi sejauh 3.8 km.

Berjalan dalam formasi empat orang sebaris, perarakan tersebut diketuai oleh pembawa salib dan pembawa lilin, diikuti oleh Boys Brigade dan Girls Brigade, gadis-gadis pembawa bunga, sebuah kenderaan berhias yang membawa Sakramen Maha Kudus di dalam monstrans, para paderi, golongan religius, seminarian, koir, kontinjen paroki dan umat. Para marsyal ditugaskan untuk memastikan kelancaran serta ketertiban perarakan.

Setiap kontinjen membawa panji-panji, menyalakan lilin dan menyanyikan lagu-lagu pujian sepanjang perjalanan. Mereka berhenti di Padang Merdeka dan Tugu Pahlawan (taman di kawasan Muzium Sarawak lama) untuk ‘benediction’ ringkas serta doa keberkatan daripada Uskup Agung kepada orang ramai di sepanjang jalan.

Perarakan tersebut mengambil masa kira-kira dua jam dan berakhir di menara loceng katedral. Sakramen Maha Kudus kemudian ditempatkan di atas altar dan diasapi dengan dupa.

Perarakan Ekaristi diakhiri dengan nyanyian lagu Ulang Tahun Ke-50, diikuti Eksposisi Sakramen Maha Kudus dan Pemberkatan (Benediction).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.