Oleh Katekis Joseph Juni
KOTA PADAWAN — Paroki St Ann Kota Padawan telah berjaya menganjurkan Kursus Ketua Sembahyang dan Pelayan Komuni Bukan Lazim yang berlangsung selama empat daripada 15 Jun hingga Ahad, 21 Jun 2026.
Kursus ini dikendalikan oleh Katekis Joseph Juni dan menghimpunkan seramai 34 orang peserta yang dipanggil untuk melayani dalam pelbagai pelayanan liturgi di gereja.
Dengan tema ‘Melayani dengan Iman, Memimpin dengan Kasih’, kursus ini bertujuan untuk memperkukuh pemahaman peserta tentang peranan dan tanggungjawab sebagai Ketua Sembahyang dan Pelayan Komuni Bukan Lazim, selaras dengan ajaran dan tradisi Gereja Katolik.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek liturgi, kepimpinan pelayanan dan kerohanian pelayan gereja, bagi meningkatkan keyakinan dan kesediaan mereka dalam menjalankan tugas pastoral.
Rektor Gereja St Ann, Friar Don Don Ramerez OFM, mengingatkan semua peserta kursus bahawa setiap bentuk pelayanan merupakan satu panggilan untuk melayani Tuhan dan umat-Nya dengan penuh iman, kerendahan hati dan kasih.
Melalui pembentukan rohani dan latihan yang diterima, beliau berharap agar para peserta dapat melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan serta menjadi teladan yang baik dalam komuniti masing-masing.
Semoga segala ilmu, pengalaman dan pembentukan yang diperoleh sepanjang kursus ini menjadi sumber inspirasi dan kekuatan kepada semua peserta untuk terus berkhidmat dengan setia demi kemuliaan Tuhan dan pembangunan Gereja.







































