Sambutan Ulang Tahunke-67 Gereja Katolik St Mark Stass, Bau

(Gambar: Christie Melly)

Oleh Elizabeth Jusy & Anthony Edbin

BAU — Gereja Katolik St Mark, Kampung Stass di Bau, telah merayakan ulang tahun yang ke-67 pada 25 April 2026. Sambutan ini dimulakan dengan Perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Fr Paul Herry dan dibantu oleh Diakon Addie Frank.

Sempena sambutan tersebut, Komiti Gereja Kampung (KGK) St Mark telah menyampaikan sumbangan bakul makanan dan insentif kepada pelajar. Selain itu, umat yang hadir turut diraikan dengan persembahan tarian kebudayaan serta nyanyian karaoke.

Turut diraikan bersama adalah penyertaan saudara-saudari seiman dari Gereja Santo Petrus, Kindau, Paroki Jagoi Babang, Indonesia.
Dalam ucapannya, Pengerusi KGK telah merakamkan rasa kesyukuran dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menyumbangkan tenaga, masa serta sumber dana bagi merealisasikan sambutan tahun ini.

Beliau berharap agar semangat kekitaan dan kebersamaan ini diteruskan dalam masa-masa yang akan datang.Sejarah Penubuhan Gereja St Mark, Stass

Sekitar tahun 1950, Fr Jackson telah tiba di Kampung Stass dengan berjalan kaki dari Pekan Bau dan membawa satu titik harapan, iaitu untuk menubuhkan sebuah sekolah. Namun cadangan baik beliau telah ditentang oleh ketua dan penduduk kampung kerana berpegang kuat pada adat tradisi serta pantang larang.

Sungguhpun demikian, Fr Jackson tidak berputus asa. Pada tahun berikutnya, beliau datang semula, kali ini bersama Fr Aichner dengan membawa harapan dan cadangan yang sama. Sekali lagi cadangan mereka ditolak oleh ketua kampung ketika itu, iaitu Babai Kusah.
Babai Kogap mengambil alih pucuk kepimpinan kampung selepas kematian Babai Kusah pada 1952. Di bawah kepimpinan yang baharu ini, misi Fr Jackson diteruskan oleh Fr John Hol.

Beliau telah berjaya mengumpul maklumat dan data anak-anak orang Kampung Stass yang layak bersekolah. Dengan itu, St Mark’s Primary School telah dibina pada 1953 dengan kerjasama beberapa orang penduduk kampung.

Atas bimbingan dan usaha Fr John Hol, enam buah keluarga telah memeluk agama Katolik pada 1960. Sebagai kesannya, keluarga-keluarga tersebut telah berhadapan dengan pelbagai dugaan, cabaran serta penolakan daripada penduduk kampung yang lain.

Justeru, sebuah penempatan baharu bagi keluarga Katolik telah dibina, berdekatan dengan sekolah dan berasingan daripada penduduk kampung lain.

Agama Kristian Katolik berkembang dengan sangat perlahan pada awal tahun 1960-an. Kini lebih daripada 95 per cent penduduk Kampung Stass adalah penganut agama Kristian Katolik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.